Rasuah Jalan Raya Sudah Bermula Di Melaka

Gambar hiasan

Tinjauan beberapa hari ini di sekitar bandar Melaka menyaksikan kerja-kerja penurapan jalan raya telah bermula walaupun jalan raya itu tidak rosak sekali pun. Apakah ini tanda-tanda pilihan raya kian hampir dan sudah tiba masanya rasuah jalan raya yang cuba ditabur oleh pihak UMNO/BN yang kononnya pembangunan dalam istilah UMNO/BN.

Kerja-kerja penurapan jalan raya yang tidak berapa rosak sedang giat dijalankan di sekitar Melaka Baru, Padang Jambu, Bukit Sebukor dan di beberapa tempat lain yang menjadi tempat tumpuan UMNO menggula-gulakan rakyat. 

Masih banyak lokasi untuk diturap oleh kerajaan dan bukannya menurap jalan yang tidak rosak. Sebagai contoh di Umbai, keadaan jalan begitu teruk sekali walhal jalan tersebut menjadi laluan utama mereka untuk ke Muar selain Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin).

Sepatutnya jalan seperti itu yang patut diturap dan bukannya jalan yang sudah sediakala dalam keadaan baik. Kos untuk menurap jalan raya bukannya murah dan jika alasan ini yang diberikan kerajaan kepada rakyat, maka itu tindakan menipu rakyat.

Bagaimana kerja-kerja menurap ini boleh dilakukan dikawasan yang boleh dikatakan menjadi laluan utama tetapi tidak diambil perhatian dengan jalan-jalan di kawasan kampung. Ada juga jalan -jalan kampung diasingkan untuk kerja-kerja menurap gara-gara berbeza pandangan politik dan sebagai contohnya di Bukit Beruang.

Kalau diikutkan di Bukit Beruang ada rakyat. Tidak kiralah rakyat itu dari parti politik mana sekalipun yang penting tugas kerajaan memberikan perkhidmatan yang adil kepada rakyat. Sebagai contoh, dua buah rumah ini di Bukit Beruang ada jalan bersebelahan. Laluan jalan yang bersebelahan rumah orang UMNO di turap manakala jalan disebelah penduduk pihak yang satu lagi dinafikan sedangkan mereka adalah rakyat.

Beginikah sikap kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Melolong, melalak dengan slogan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Slogan ini sesuai diletakkan di dalam tandas supaya rakyat memikirkan yang mana satu untuk rakyat dan siapa yang mencapai prestasinya?

Comments