Minyak Enjin Pesawat Gergasi Bocor

DUA buah pesawat Qantas Airbus A380 diletakkan di depan sebuah hangar di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles pada Jumaat lalu.


Syarikat penerbangan Qantas Airways melanjutkan tempoh penggantungan pesawat gergasi dua tingkat Airbus A380 selama tiga hari lagi bermula semalam.
Penggantungan itu dibuat selepas minyak didapati bocor pada beberapa enjin pesawat itu sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan pesawat berkenaan.
Pada minggu lalu, pesawat itu melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura selepas salah satu daripada empat enjinnya meletup di udara.
Serpihan-serpihan bingkai sebuah enjin pada sayap pesawat itu bertaburan di bandar Batam dekat dengan Singapura sebelum pesawat itu mendarat cemas.
Namun dalam kejadian itu, tiada seorang pun daripada 459 orang yang menaiki pesawat tersebut mengalami kecederaan.
Walaupun Qantas mengumumkan penggantungan itu, syarikat penerbangan Singapore Airlines menyatakan, ia telah melakukan pemeriksaan terhadap semua 11 pesawat A380 dan mendapati tidak ada sebarang masalah ditemui.
Pesawat itu menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Qantas Airways, Alan Joyce berkata, ujian yang dilakukan terhadap enjin itu mendapati terdapat sesuatu tidak kena pada enjin tersebut di tiga buah pesawatnya.
Sebelum ini syarikat itu mempunyai rekod yang cemerlang dalam penerbangan kerana ia tidak pernah terhempas dalam tempoh 90 tahun.
Syarikat Qantas mempunyai enam buah pesawat Airbus A380.
Menurut Joyce, syarikat Qantas tidak akan terbang selagi pihak pengurusan syarikat penerbangan itu yakin 100 peratus bahawa ia selamat digunakan. 
Sumber: AFP

Comments