MARIAN BIRKENDAL


Pertandingan ratu cantik dunia di China dicemari kontroversi selepas negara tuan rumah dituduh menggunakan tekanan untuk menyekat kemaraan peserta pilihan dari Norway, Marian Birkendal kerana pertikaian diplomatik antara Beijing dan Oslo.
Acara tersebut yang berlangsung di Pulau Hainan pada Sabtu lepas dimenangi peserta dari Amerika Syarikat (AS), Alexandria Mills berusia 18 tahun.
Namun, sebuah akhbar melaporkan, beberapa sumber dalaman terkejut selepas Birkendal, 23, gagal menduduki lima tempat teratas pertandingan itu yang ditonton oleh satu bilion orang di seluruh dunia.
"Sebelum ini, saya yakin dia (Birkendal) akan menang," kata seorang personaliti televisyen Norway, Kathrine Sorland.
Dia pernah menduduki tempat keempat dalam pertandingan ratu cantik dunia pada 2002.
"Mereka (tuan rumah) mencampurkan politik dengan urusan pertandingan ratu cantik ini. Ketika ini, hubungan antara China dan Norway agak tegang," tambahnya.
Sebelum keputusan ratu cantik itu diumumkan, Birkendal merupakan antara pilihan utama untuk memenangi gelaran tersebut dengan mengatasi peserta dari AS itu.
Menurut beberapa laporan kelmarin, para pemerhati mendakwa barisan juri ratu cantik dunia itu terpaksa akur dengan tekanan Beijing supaya mengetepikan Birkendal sebagai pemenang.
China didakwa berang setelah jawatankuasa Hadiah Nobel di Norway menganugerahkan Hadiah Nobel Keamanan kepada banduan China, Liu Xiaobo yang dipenjarakan kerana menentang dasar-dasar pemerintah.
Xiaobo, 54, yang merupakan seorang profesor mendesak supaya demokrasi dikembalikan di China. 
Sumber: Agensi

Comments