6 Maut Kereta Terbakar

“Saya mendengar pemandu kereta itu menjerit minta tolong beberapa kali sambil melambai-lambai, namun terkilan kerana tak dapat mengeluarkannya kerana api marak terlalu cepat dan dia tersepit di tempat duduk.
HANGUS...anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang rentung.
HANGUS...anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang rentung.
“Tak lama kemudian, suaranya makin perlahan dan dia rentung bersama empat penumpang kereta dipandunya,” kata Shahari Ishak, 64, saksi kemalangan yang mengorbankan enam nyawa, lima daripadanya rentung di Kilometer 30.1 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh di sini, awal pagi semalam.

Shahari antara saksi terawal yang berada di tempat kejadian dan sempat mengeluarkan seorang penumpang dari kereta Honda City yang dinaiki enam orang itu, namun terkilan kerana hanya mampu melihat lima yang lain rentung dijilat api.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, pemandu dan lima penumpang kereta terbabit terbunuh kerana penumpang yang dikeluarkan Shahari meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kampar (HK).

Enam mangsa membabitkan empat lelaki serta dua wanita dan kejadian berlaku selepas kereta dinaiki mereka dari Kampar ke Ipoh hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok lalu terbakar.

Lima mangsa yang rentung ialah pemandu, Lim Ka Wan, 20, serta penumpang; Tong Wai Leong, 18; Yap Hing Long, 20, Wong Chee Keong, 23, dan Soo Poi Wan, 18. 



Foo Siew Ling, 23, pula meninggal dunia di Hospital Kampar pada jam 4.50 pagi akibat parah di bahu, tangan dan rusuk kanan. Wong dan Foo adalah suami isteri.

Shahari yang tinggal berdekatan tempat kejadian berkata, dia sempat menarik keluar seorang penumpang di tempat duduk penumpang, namun gagal mengeluarkan mangsa lain kerana api marak cepat serta keadaan semua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing.

Comments