Sultan Kelantan Kembali Dirawat Di Singapura

Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra akan menerima rawatan semula di Hospital Mount Elizabeth, Singapura mulai 14 Julai ini.

Menurut Pengelola Istana Diraja, Datuk Abdul Halim Hamad, tujuan rawatan susulan itu ialah untuk menukar tiub lama di perut baginda kepada tiub baru bagi menyalurkan makanan.

Bagaimanapun katanya, rawatan susulan itu tidak diuruskan oleh Pejabat Sultan Kelantan dan pejabat itu tidak dititah untuk berbuat demikian.

"Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra prihatin terhadap kesihatan Sultan Kelantan dan tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya rawatan yang hendak dilaksanakan di Hospital Mount Elizabeth tidak terdapat dalam negara.

"Rawatan susulan itu telah dirujuk dan disyorkan oleh pakar-pakar perubatan dalam negara dan dibincang di kalangan keluarga," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Sebelum ini Pemangku Raja Kelantan bertitah, sebarang rawatan ke atas baginda Sultan di luar negara perlu mendapat perkenan baginda selepas dirujuk kepada pakar-pakar perubatan dalam negara seperti yang digariskan dalam peraturan kerajaan.

Tuanku Ismail yang mengalami masalah kesihatan telah dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini pada 14 Mei tahun lalu untuk menerima rawatan.

Baginda kemudiannya dihantar ke Hospital Mount Elizabeth untuk menerima rawatan susulan pada 24 Mei tahun lalu sebelum berangkat pulang ke Istana Mahkota pada 4 Mac lalu.

Pada 4 Mei lalu, berlaku kontroversi apabila sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang bersenjata menahan rombongan diraja yang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa untuk berlepas ke Kuala Lumpur.

Tuanku Ismail kemudian dibawa ke HUSM untuk diperiksa oleh doktor panel yang dilantik kerajaan negeri dan dibenarkan keluar pada 9 Mei.

Comments