Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

Laporan Audit Perjanjian Perlu Didedahkan

Wednesday, 7 July 2010

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud (gambar) kecewa dengan tindakan Kerajaan Pusat mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar tidak perlu mendedahkan kandungan laporan audit dan perjanjian konsesi air antara kerajaan Selangor dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen semalam, Syed Shahir berkata, laporan audit yang didakwa sulit itu oleh kerajaan hanyalah perjanjian perniagaan dan tidak terkandung di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan wajar didedahkan kepada umum.

"Pada pandangan kami sebagai yang mewakili rakyat, saya sebagai Presiden MTUC yang merupakan pemohon utama dalam kes ini merasa kecewa dengan sikap kerajaan pusat yang bercakap mengenai ketelusan, integriti tetapi dalam masa yang sama berlindung di belakang undang-undang untuk tidak mendedahkan perkara yang sepatutnya diketahui oleh rakyat.

"Perjanjian konsesi ini dengan laporan audit bukanlah diklasifikasi sebagai dokumen rahsia atau sulit. Ini merupakan perjanjian perniagaan. Jadi tidak ada sebab ianya harus berlindung di belakang akta yang ada sekarang. Walaupun kita juga ada pandangan lain berhubung OSA tapi selepas soal itu, perjanjian ini merupakan perjanjian perniagaan yang bukan rahsia," katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 28 Jun lalu mengarahkan Kerajaan Pusat mendedahkan dokumen tersebut kepada umum.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail, yang memutuskan bahawa keengganan kerajaan mendedahkan laporan tersebut, tidak mempertimbangkan harapan anggota masyarakat yang terjejas dengan keputusan tersebut.

Menurutnya, keputusan responden membenarkan penswastaan perkhidmatan air dan peningkatan kadar sewenang-wenangnya, dan pada masa yang sama menggunakan OSA, adalah tidak selari dengan tujuan akta tersebut.

Sehubungan itu kata Syed Syahir, MTUC akan mengadakan siri jelajah ke setiap negeri bagi memberikan penerangan kepada rakyat berhubung perkara itu termasuk perjanjian-perjanjian konsesi lain yang melibatkan kepentingan pengguna.

“MTUC sangat serius dalam hal ini kerana anggota kita adalah rakyat paling bawah. Oleh itu kita mahu ambil inisiatif dan dalam masa terdekat kita akan bersama dengan rakan-rakan lain termasuk anggota parlimen tidak mengira parti politik untuk bersama kerana ini isu rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad yang merupakan anggota panel air Selangor berkata, kerajaan lebih mementingkan konsesi yang ada kaitan dengan kroni mereka daripada menjaga kepentingan rakyat.

"Yang peliknya hampir 2 tahun kita berunding, kerajaan masih lagi cenderung untuk memberikan keuntungan kepada konsesi Puncak Niaga dan Syabas.

"MTUC dan kami yang melindungi pengguna, kita nampak kerajaan mahu bagi kepada kroni mereka," katanya.

Syed Shahir dan 13 orang lagi mengemukakan kes kehakiman terhadap Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan atas keputusan mereka menswastakan pengurusan air.

0 comments:

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat