Dedah Dahulu Kos Selenggara TUDM dan TLDM Sebelum Cakap Isu Pasir

Kecoh UMNO Selangor pasal isu pasir tetapi isu negara diam seribu bahasa. Noh Omar sudah merapu mengenai fakta pasir sedangkan UMNO yang mengkhianati rakyat Selangor dengan mencuri pasir. Helah mereka sebenarnya mahu menutup isu TUDM dan TLDM.

Senator Dr Syed Husin Ali  mendesak Kementerian Pertahanan menyenaraikan nama syarikat tempatan dan luar negara yang mendapat kontrak untuk membaiki atau membaik pulih kapal terbang serta kapal selam di bawah Tentera Laut DiRaja Malaysia dan juga Tenterua Udara DiRaja Malaysia termasuk kos kontrak.

Dr Syed Husin berkata beliau mahu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan jawapan yang telus kepada rakyat ingin tahu siapa dan syarikat mane yang dilantik kerajaan untuk kontrak kerja baik pulih dan juga kos yang terbabit.

"Menteri juga telah menyerahkan kepada saya jawapan secara bertulis dan beliau menyatakan terdapat lima buah syarikat tempatan dan empat belas syarikat dari luar negara bagi melaksanakan kerja-kerja senggaraan ke atas pesawat perjuang Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM). Selain itu juga Menteri menjelaskan kerja-kerja senggaraan dilaksanakan secara 'as and when required' berdasarkan kepada kadar 'man hour' yang telah ditetapkan.

"Manakala bagi kontrak membaiki dan membaik pulih kapal perang Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), kontrak dilaksanakan melalui kontrak panel selaras dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 2 Tahun 2003 serta dilaksanakan menggunakan kadar tariff. Sembilan syarikat diberikan untuk membaik pulih kapal perang milik TLDM hanya kontrak kapal selam Scorpene diberikan kepada Boustead-DCNS Naval Shipyard Sdn Bhd," jelasnya pada satu sidang media di parlimen semalam.

Bagaimana pun beliau berkata jawapan yang diberikan Menteri masih belum mencukupi kerana pihak Kementerian Pertahanan gagal memberikan jumlah kos kontrak yang diperolehi setiap satu syarikat.

"Kita mahukan jumlah kos setiap kontrak tetapi Menteri gagal memberi penjelasan tersebut, kenapa kita perlu lindungi jumlah kontrak. Rakyat perlu tahu jumlah sebenar yang dibelanjakan oleh kerajaan dalam urusan tersebut.

"Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak juga perlu hadir untuk beri penjelasan terhadap soalan saya berkenaan dengan jumlah kos kontrak yang telah diberikan. Kita tidak mahu perkara pemberian kontrak dan jumlah kos ini berulang seperti apa yang berlaku di dalam kontrak kapal selam Scropene yang sebelum ini.

"Pada asalnya Boustead memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa kontrak perkhidmatan adalah berjumlah RM600 juta untuk tempoh enam tahun atau RM100 setiap tahun tetapi kontrak itu kemudiannya melambung kepada RM270 juta setahun. Boustead Holdings dimiliki sebahagiannya oleh Kerajaan Malaysia dan berkait rapat dengan Umno, isu ini telah menjadi perbahasan sewaktu sidang Dewan Rakyat sebelum ini.

"Tetapi jawapan bertulis dari Menteri menyatakan bagi kontrak kapal pula kontrak ini diberikan kepada Boustead-DCNS Naval Shipyard Sdn Bhd, walau bagaimanapun kontrak ini masih dalam peringkat perundingan harga dan kontrak tersebut dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat. Kita mahu penjelasan yang sebenar daripada kerajaan, jangan hendak mengelak menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan.

"Apa yang jelas disini setiap kali soalan ditimbulkan terhadap Kementerian Pertahanan perkara tersebut akan ditolak oleh Yang DiPertua Dewan serta Menteri tidak akan menjawab soalan tersebut dengan alasan ia adalah rahsia serta tidak perlu didedahkan," tegas Dr Syed Husin lagi.

Selain berkaitan dengan kos, beliau juga bertanya samada Airod Sdn Bhd masih lagi mempunyai kontrak dengan Kementerian Pertahanan sedangkan terdapat beberapa laporan yang telah dibuat kepada polis dan juga Badan Pencegahan Rasuah (BPR) dahulu dan sekarang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan berlakunya rasuah.

"Saya mendapati jawapan yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan SPRM telah mengambil tindakan berhubung dakwaan tersebut dan mendapati tidak terdapat keterangan yang membolehkan tindakan lanjut diambil oleh SPRM.

"Kualiti jawapan yang diberikan oleh Menteri tersebut tidak memuaskan hati saya, jawapan yang tidak menjawab keseluruh pertanyaan dan bagi saya ia amat penting kerana sebelum dakwaan itu telah terdapat bukti yang kukuh diberikan kepada SPRM untuk diambil siasatan termasuk salinan cek yang diberikan kepada pegawai atasan bagi mendapatkan kontrak.

"Menteri mengatakan SPRM tidak dapat meneruskan siasatan kerana keterangan yang diperolehi tidak mengizinkan tindakan itu diambil, jadi saya ingin tahu apa kesudahan jadinya kepada bukti-bukti yang telah diberikan dulu. Bukti itu sudah cukup untuk SPRM mengambil tindakan menyiasat. 

"Saya berharap Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan SPRM boleh menjelaskan kekusutan tersebut, berikan penjelasan yang telus setiap persoalan yang ditimbulkan. Tindakan cuba mengelakkan untuk membuat penjelasan menimbulkan beribu persoalan serta ia menjadi hak rakyat untuk mengetahuinya," katanya lagi.

Comments