Nyaris Maut Terhempas


ORANG RAMAI melihat sebuah pesawat ringan Diamond 40 yang mendarat cemas di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu semalam.


Nyawa seorang juruterbang pelatih dan jurulatihnya ibarat telur di hujung tanduk setelah kedua-duanya nyaris maut apabila pesawat ringan jenis Diamond 40 yang dipandu mereka mengalami kerosakan enjin hingga terpaksa membuat pendaratan cemas di Pantai Tok Jembal dekat sini semalam.

Kejadian pukul 10.30 pagi itu berlaku ketika pesawat milik syarikat Asia Pacific Flight Training (APFT) yang sedang melakukan latihan penerbangan berada pada ketinggian 3,000 meter dari aras laut.

Difahamkan, pesawat itu memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di Kota Bharu menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu kira-kira dua jam sebelum kejadian.



Bagaimanapun, pesawat yang dipandu juruterbang pelatih, Syafik Haizam Mohd. Kamil, 19, (gambar kecil) dan jurulatihnya seorang warga Myanmar, Kapten Naing Myint Khine, 46, itu hanya mengalami kerosakan kecil.

Kedua-dua mangsa itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menceritakan detik itu, Syafik memberitahu, sebaik tiba di LTSM, mereka berpatah balik ke LTSIP dan beberapa minit kemudian enjin pesawat tiba-tiba mati di kawasan Batu Rakit.

Comments