H1N1 Semakin Aktif Menyerang



Sejumlah 19 pesakit lagi disahkan positif Influenza A (H1N1) sehingga 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul individu yang dijangkiti penyakit itu di seluruh negara ialah 14,326.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata bilangan pesakit dirawat di hospital seluruh negara akibat penyakit serupa influenza (ILI) adalah sebanyak 606 kes.

"Daripada jumlah itu, 80 kes disahkan positif H1N1. Bilangan kes di Unit Rawatan Rapi ialah 12 kes dengan sembilan daripadanya mempunyai faktor risiko," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, sehingga 8 pagi ini, sebanyak empat laporan kejadian kluster ILI dikesan di Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.

"Kementerian Kesihatan ingin mengingatkan bahawa penularan jangkitan virus H1N1 cukup mudah berlaku di tempat orang ramai berkumpul atau bersesak-sesak.

"Bagi mengekang penularan ini secara efektif, amat penting bagi mereka yang mempunyai gejala ILI supaya tidak pergi ke tempat tumpuan awam sedemikian," katanya.

Comments