Cuai Sebabkan Kematian Di KB Mall

Seorang lelaki hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian dua pelajar kolej kejururawatan yang dihempap kereta di pasar raya KB Mall di sini, Disember lepas.

Mohd. Sabri Jusoh, 28, seorang penjaga sarang burung, didakwa telah menyebabkan kematian Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nordiana Azman, 18, dengan cuai pada pukul 5.10 petang di pasar raya berkenaan pada 6 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Noor Haslinda Che Man membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Mohd. Sabri, dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besat, Terengganu didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Dalam kejadian itu, dua pelajar Kolej Masterskill cawangan Kota Bharu terbunuh selepas sebuah kereta jenis Ford Laser yang dipandu oleh Nor Ain Said, 18, menghempap kedua-dua mangsa dan Rashidah Ahmad Lutfi, 24, yang ketika itu berada di ekskalator (tangga bergerak) pasar raya itu.

Siti Nor Amira, dari Felda Chiku Tujuh, Gua Musang, mati di tempat kejadian, manakala Siti Nordiana, dari Cabang Empat, Tumpat, mati dalam perjalanan ke hospital, manakala Rashidah cedera parah.

Comments