14 Kedai Terbakar

Sebanyak 14 unit deretan kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Besar Pekan Batu 9, Cheras di sini hari ini dan menyebabkan dua anggota polis serta seorang anggota bomba cedera.

Kejadian kira-kira 3.30 petang tadi dipercayai berpunca daripada litar pintas dari sebuah unit kedai itu menyebabkan 10 unit kedai dua tingkat dan empat unit kedai setingkat musnah dalam kebakaran itu.

Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon Hulu Langat, Mazlan Zainol berkata, lima jentera dari Balai Bomba Kajang, Bangi, Taman Segar, Pandan dan Hang Tuah bersama-sama 50 anggota mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran.

"Api marak dengan cepat kerana semua unit kedai yang berusia lebih 40 tahun ini dibina daripada papan dan kami mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal api daripada merebak ke bangunan bersebelahan,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan sebuah tong gas dari sebuah unit kedai itu meletup dan melayang kira-kira 100 meter masuk ke dalam Balai Polis Batu 9 yang bertentangan dengan tempat kejadian.

Comments