Maria Tunku Sabri dan Saman RM5.5 juta

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 9 Julai untuk mendengar isu-isu perundangan berhubung kes saman personaliti TV3, Maria Tunku Sabri terhadap seorang ahli perniagaan kerana mengingkari penyelesaian perjanjian pembayaran pampasan RM5.5 juta selepas lelaki itu gagal menunaikan janji untuk berkahwin dengannya.
Peguam Karpal Singh yang mewakil Maria, 40, berkata, kedua-dua pihak diminta untuk menggubal isu-isu perundangan untuk perbicaraan dan mengemukakan perkara berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd. Yusof akan memutuskan sama ada untuk menolak saman itu tanpa memanggil saksi.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Maria untuk mengemukakan semula saman terhadap Datuk Wan Johani Wan Hussin, 57, kerana didakwa melanggar perjanjian. 

Pada 2004, Maria, yang pernah menjadi pengacara program “Jalan-Jalan Cari Makan”, memohon agar dikuatkuasakan perjanjian melibatkan janji oleh Wan Johani untuk membayar RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti yang dijanjikan. 

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, beliau berkata, perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.

Comments