Tahukah Anda Bagaimana Najib Kayakan Adiknya Dalam CIMB?

Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar menyatakan rasa kemusykilannya berhubung kekayaan adik Perdana Menteri Najib Abdul Razak, iaitu Datuk Seri Nazir Razak melalui CIMB Group.

"Kekayaan Datuk Nazir Razak dikaitkan dengan CIMB Group di mana beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kekayaan beliau dinilai daripada jumlah pegangan beliau dalam syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan syarikat yang dimaksudkan itu adalah CIMB Group.

"Setahu saya, CIMB adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Persoalannya sekarang ialah, adakah Datuk Nazir juga memiliki pegangan syer dalam CIMB? Kalau mengikut kaedah yang digunakan bagi mengenal pasti kekayaan seseorang, ia mesti berdasarkan kepada pegangan syer dalam syarikat yang tersenarai. Ini bermakna, Datuk Nazir memiliki sejumlah pegangan di dalam CIMB Group.

Isu di sini, soal Mahfuz, apakah status CIMB sekarang dan adakah badan kewangan itu masih berstatus GLC?

"Berapakah jumlah pegangan kerajaan dalam CIMB yang pada asalnya ialah Bank Bumiputra? Apakah kerajaan masih memiliki pegangan majoriti atau sekadar 'golden share'?" soal beliau lagi.

Beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, perdana menteri perlu jelaskan semua ini termasuk berapakah pegangan yang dimiliki oleh adiknya Nazir, sejak bilakah pegangan itu diperolehi serta dari manakah pegangan itu diperolehi?

"Adakah pegangan itu diperolehi daripada pegangan kerajaan? Rakyat perlu diberi penjelasan bagaimana Nazir Razak; adik Perdana Menteri yang bekerja makan gaji dengan GLC, dengan tiba-tiba menjadi orang yang ke-40 terkaya di Malaysia dengan jumlah kekayaan RM385 juta," tambah beliau lagi.

Terbaru, majalah Malaysian Business menyenaraikan nama 40 orang yang terkaya di Malaysia. Ia dibuat melalui kaji selidik nilai pegangan saham mereka dalam syarikat yang tersenarai di pasaran saham pada 15 Januari tahun ini.

Yang menarik perhatian ramai ialah wujudnya muka baru, antaranya Datuk Nazir Razak, adik Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Razak.

Comments