Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

Seluruh Malaysia Diseru Beri Sokongan Hak Royalti Minyak

Friday, 5 February 2010

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) merayu dan memohon seluruh rakyat dan anak Kelantan di mana sekalipun mereka berada untuk terus memberi sokongan terhadap hak negeri Kelantan – kerajaan dan rakyatnya dalam hal menuntut royalti petroleum yang telah dijanjikan menurut lunas-lunas undang-undang dan semangat Persekutuan tersebut.  

"GEGAR juga ingin menyatakan kekesalan dengan kenyataan berterusan Datuk Mustapha Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussein selaku anak kelantan yang menidakkan pemberian wang royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan. 

"Bagi GEGAR, kedua-dua pemimpin ini seharusnya bersama-sama Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah menyokong tuntutan royalti untuk Kelantan berdasarkan fakta demi untuk kepentingan rakyat Kelantan," jelas Pengerusi bersama GEGAR, Dr Abdul Halim Yusof 

Menurut beliau, pihak GEGAR ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat yang hadir termasuk yang sanggup pulang ke Kelantan dari jauh untuk Ceramah Perdana Royalti dan Himpunan Raksasa rakyat menuntut royalti petroleum di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu pada minggu lalu, . Ternyata, rakyat Kelantan bersatu untuk menuntut royalti ini. 

"Secara khusus, GEGAR ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah di atas kehadiran beliau memberi penjelasan sebenar kepada rakyat selaku orang yang terlibat secara langsung dalam  perjanjian royalti tahun 1975. 

Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada tetamu istimewa pada majlis tersebut iaitu  Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan, ahli-ahli Yang Berhormat serta pimpinan-pimpinan parti politik dan NGO," jelas beliau lagi. 

GEGAR juga katanya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, anggota-anggota keselamatan, badan-badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang membantu melicinkan perjalanan majlis ceramah perdana dan himpunan raksasa rakyat tersebut.  

"Hasil daripada penjelasan  Tengku Razaleigh yang autentik dan tepat, jelas sekali kerajaan dan rakyat Kelantan adalah berhak kepada royalti. Rakyat telah dapat melihat semula perkara yang telah dirundingkan lebih 30 tahun yang lalu ini.

" GEGAR ingin mengingatkan semua pihak agar bersikap terbuka dalam menerima fakta yang jelas dan GEGAR juga mengharapkan agar setiap pihak berlaku jujur dan amanah serta tidak menyelewengkan fakta dan maklumat kerana amanah adalah tuntutan iman dan diin," tegas beliau. 

Belaiu juga berkata, GEGAR menyeru semua pihak agar menghormati penjelasan Pengerusi Petronas yang pertama yang terbabit secara langsung dalam perjanjian tahun 1975. GEGAR  menganggap kecaman dan sindiran pihak tertentu terhadap Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah adalah amat tidak wajar kerana majlis tersebut adalah majlis penjelasan sebenar kepada rakyat. 

"Justeru itu, bagi menunjukkan keprihatinan dan komitmen seluruh rakyat kepada tuntutan royalti ini, GEGAR merayu dan memohon seluruh rakyat dan anak Kelantan di mana sekalipun mereka berada untuk mengibarkan bendera Negeri Kelantan di kereta, premis kediaman dan tempat yang sesuai sebagai tanda sokongan kepada kedaulatan Persekutuan Malaysia di mana Kelantan adalah salah sebuah negeri yang mendokong Persekutuan dan juga, sebagai tanda sokongan terhadap hak negeri Kelantan – kerajaan dan rakyatnya dalam hal menuntut royalti petroleum yang telah dijanjikan menurut lunas-lunas undang-undang dan semangat Persekutuan tersebut,"tegas Dr Abdul Halim.  

 Selain itu Dr Abdul Halim juga berharap rakyat terus memberi sokongan terhadap sebarang usaha yang baik untuk memberi kesedaran rakyat dan meningkatkan perasaan bertanggungjawab untuk menyumbang dan membantu bagi memajukan rakyat negeri Kelantan sebagai negeri yang aman, sejahtera dan maju dalam ekonomi, sosial dan politik agar duniawi kita wibawa, dan akhirat kita selamat.    

GEGAR juga dalam kenyataan medianya mengajak semua pemimpin dan penggerak politik tanpa mengira parti, pemimpin masyarakat, ulama dan cendekiawan, sasterawan, budayawan, pentadbir, petani, peniaga, peraih serta seluruh warga masyarakat untuk menuntut dan mempertahankan hak royalti minyak dan masa depan seluruh rakyat dan negeri Kelantan demi kebaikan rakyat dan generasi kerana bagi rakyat, sokongan seumpama ini amat besar maknanya. 

Akhirnya GEGAR juga  menuntut agar pihak yang bertanggungjawab iaitu Petronas dan  Kerajaan Persekutuan menghormati semangat Persekutuan dan setiap perjanjian yang telah termeterai antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan semangat Persekutuan yang memberi hak dan keadilan kepada semua rakyat. 

"Kepada Allah kita berserah dan kepada-Nya kita memohon pertolongan dan petunjuk dalam setiap urusan," tegas beliau lagi.

0 comments:

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat