Rampas royalti minyak RM1 Bilion, Mustapha Mohamed ‘penderhaka’!

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed disifatkan sebagai 'perderhaka' kepada rakyat Kelantan, kerana enggan menyokong perjuangan rakyat negeri itu dalam usaha menuntut royalti minyak, sebaliknya mengungkit pemberian RM9.3 juta dalam kenyataannya baru-baru ini.

"Kita sokong dakwaan rakyat Kelantan bahawa beliau adalah 'pendehaka' kerana enggan menyokong tuntutan royalti minyak daripada kerajaan persekutuan yang bernilai RM1 Bilion.

"Beliau sepatutnya malu kepada ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang nekad menyokong perjuangan rakyat Kelantan walaupun tahu akibat perbuatannya itu boleh menyebabkannya dipecat dari Umno," kata Ketua Penerangan Pas Idris Ahmad dalam kenyataan medianya di sini, hari ini.

Setidak-tidaknya, tambah beliau, Tengku Razaleigh, tahu membezakan yang mana satu adalah hak rakyat dan yang mana satu hak kerajaan persekutuan.

"Pas kecam surat layang diedar bagi memburuk-burukan imej ahli parlimen Gua Musang itu. Adalah tidak wajar beliau menjadi mangsa walhal seluruh rakyat berdiri atas perjuangan yang sama dan menolak pandangan Mustapa yang jelas menyeleweng daripada fakta sebenar.

Sikap Mustapa Mohamed memalukan kerana ungkit RM9.3 juta

"Pas juga kesal kerana Mustapa mengungkit dana RM 9.3 juta yang digunakan bagi projek pembangunan Medan Tuan Padang, Pasar Siti Khadijah dan Medan Usahawan Perbadanan Stadium Kelantan, walhal itu sememangnya hak dan duit rakyat Kelantan dan bukan Umno," kata beliau lagi.

Idris berkata, Mustapa lupa bahawa segala hasil cukai kastam, hasil saman trafik dan pelbagai hasil lain yang dikutip di negeri Kelantan telah banyak disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

"Jadi, tidak sepatutnya hal itu menjadi isu jika Kelantan menerima semula peruntukan itu dari persekutuan kerana duit itu bukan datang daripada poket Mustapa untuk diungkit-ungkit.

"Amat memalukan kena pemberian kecil itu diungkit semula sedangkan rakyat Kelantan kini menuntut dana yang menjadi hak mereka iaitu duit royalti minyak bernilai RM1 Bilion," tambah beliau.

Idris menambah, hal ini berlaku hanya kerana Kelantan diperintah Pas, lalu Mustapa dan Umno mencipta pelbagai alasan untuk mengesahkan tindakan mereka.

Hakikatnya, tambah beliau, rakyat sedar bahawa tindakan itu dibuat atas dasar politik, sama seperti yang dilalui Terengganu ketika diperintah Pas pada suatu masa dahulu.

"Kalau di Perak, Umno merampas kuasa rakyat, maka di Kelantan, Umno merampas wang rakyat. Begitulah Umno yang tidak pernah mengenal erti kesusahan rakyat melainkan ingin mengumpul kuasa dan kekayaan untuk kepentingan mereka sendiri.

"Penderhakaan Mustapa dan Umno ini akan terus tercatat dalam sejarah pembangunan negeri Kelantan dan generasi akan datang harus diperingatkan tentang tragedi paling zalim ini," kata Idris lagi.

Comments