Nik Aziz Iringi Anwar ke Mahkamah

Musyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menghadiri perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah hari ini, ekoran itu polis dalam kenyataan semalam mengingatkan orang ramai agar tidak mengikuti perhimpunan itu.

Sejak pagi tadi, kelibat Datuk Nik Abdul Aziz mencuri perhatian khalayak. Beliau tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekitar 9.30 pagi, kira-kira 40 minit selepas ketibaan Anwar Ibrahim.

Sejak kelmarin, beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) telah disebarkan kepada orang ramai yang menyeru mereka agar turun memberikan sokongan ke atas Anwar. Turut disebut dalam sms berkenaan, adalah maklumat berhubung kehadiran Datuk Nik Abdul Aziz tersebut.

Perbicaraan kes liwat Anwar turut menarik perhatian ramai apabila galeri awam dipenuhi pihak media, penyokong-penyokong Anwar dan para pemerhati daripada perwakilan asing sebelum pukul 9 pagi lagi.

Bagaimanapun, sehingga 9.30 pagi tadi, prosiding perbicaraan masih belum bermula.

POLIS LARANG ORANG RAMAI HADIR MAHKAMAH

Dalam perkembangan kelmarin, polis memberi amaran kepada para penyokong Anwar agar tidak berkumpul untuk mengikuti perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ini kerana, perhimpunan yang dirancang pada pukul 9 pagi itu menyalahi undang-undang dan diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram kerana tiada permit.

Perhimpunan tersebut juga dikhuatiri akan menggugat ketenteraman awam dan lalu lintas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, amaran itu dikeluarkan selepas terdapat penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengajak orang ramai berkumpul bagi mengikuti perbicaraan itu.

"Perhimpunan itu berkemungkinan akan mengganggu proses keadilan. Kita minta masyarakat jangan terpengaruh dengan penyebaran SMS tersebut.

"Polis akan bertindak tegas terhadap mereka yang berkumpul," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kelmarin.

Perbicaraan kes Anwar bermula jam 2:30 petang ini, setelah beberapa kali tertangguh sejak Julai tahun lalu.

Perbicaraan yang akan menarik perhatian umum sebelum ini ditetapkan pada 25 Januari hingga 25 Februari in,i tetapi ditangguhkan sehingga 2:30 petang ini.

Menurut Muhammad Sabtu, polis akan menempatkan kekuatan anggota yang mencukupi untuk mengawal keadaan dan bertugas secara profesional.

"Namun jika terdapat mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam, kekerasan secara minimum akan digunakan.

"Orang ramai juga diingatkan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Polis, Kanun Keseksaan dan akta lain jika mengingkari arahan polis," kata beliau.

Comments