Ke Mana Perginya RM3.4 bilion?

PAS menuntut ketelusan berhubung peruntukan RM3.4 Bilion yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie Apdal baru-baru ini.

PAS kawasan Miri, di Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, PAS negeri menolak peruntukan itu dan akan menganggapnya sebagai 'mainan politik BN' jika wang tersebut tidak disalurkan ke segenap rakyat yang sepatutnya layak menerimanya.

PAS Miri berpandangan, peruntukan oleh menteri BN itu bertujuan untuk meraih sokongan rakyat di negeri itu yang dijangka berdepan dengan pilihan raya negeri seawal April tahun ini.

"Pengumuman Shafie Apdal berhubung peruntukan RM3.4 billion untuk pembangunan Sarawak jelas menjadi mainan politik  BN ketika hampirnya pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak yang dilihat oleh ramai pengamat politik akan berlaku seawal April 2010.

Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kebanjiran para pimpinan kerajaan pusat ke negeri ini.

Begitu juga dengan peristiwa kemasukan Parti Progresif Penduduk (PPP) ke Sarawak yang menyebabkan, semakin kukuh lagi ramalan ini.

"Pas dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) menyeru agar setiap peruntukan yang diluluskan mestilah disampaikan untuk kegunaan masyarakat kesuluruhannya," katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, isu jalan berlubang, kesesakan lalu lintas dan tempat pembuangan sampah yang tidak berkesudahan di Miri, sebagai bukti jelas mengapa wang sebanyak itu hanyalah tujuan BN memancing undi dalam pilihan raya kerana masalah seumpama itu sehingga kini gagal diselesaikan.

PAS Miri turut menyentuh berhubung pendedahan salah seorang pemimpin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipetik sebagai berkata, peruntukan projek persekutuan di Sarawak mengalami ketirisan sebanyak 60 peratus.

"Sebelum ini rakyat Sarawak dikejutkan dengan laporan SPRM bahawa peruntukan projek-projek kerajaan negeri Sarawak mencapai ketirisan hampir 60 peratus dari jumlah peruntukan itu sama ada ia disalirkan ke tempat lain atau projek gagal diteruskan walaupun bayaran telah diberikan," tambah kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, PAS Miri menolak pengumuman RM3.4 billion itu sekiranya ia digunakan untuk kepentingan politik BN atau untuk mengkayakan kroni-kroni BN sahaja.

Sehingga kini, menurut kenyataan itu, laporan siasatan SPRM berhubung ketirisan itu masih kabur.

PAS Miri turut mendesak agar mereka yang terlibat segera dihadapkan ke mahkamah dan menggesa SPRM tidak bersifat memihak kepada kumpulan tertentu, sekali gus pada masa yang sama mendiskriminasikan pihak lain dalam siasatan mereka.

Terdahulu, Sarawak yang disifatkan sebagai 'Simpanan Tetap BN' sejak pilihan raya umum 8 Mac 2008 sehingga kini disuntik dana peruntukan berbilion ringgit daripada pelbagai kementerian bagi memastikan rakyat di negeri itu tidak mengundi PR dalam pilihan raya negeri akan datang.

Walaupun Dun Sarawak hanya akan berakhir pada Jun 2011, namun pengesahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa beliau telah menemui Ketua Menteri Sarawak, menguatkan lagi spekulasi bahawa negeri itu akan berdepan dengan pilihan raya negeri dalam tempoh terdekat ini.

Comments