Tiada Pilihanraya Kecil di Hulu Selangor

Tindakan propaganda BN memainkan isu kononnya berlaku perletakan jawatan Ahli Parlimen (MP) Hulu Selangor, Dr. Zainal Abidin Ahmad sehingga membawa kepada kononnya akan berlaku pilihanraya kecil dibidas oleh pimpinan PKR dalam Majlis Makan Malam anjuran PKR Hulu Selangor malam tadi.

Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, tiada kekosongan bagi parlimen itu dan Dr. Zainal akan bertugas seperti biasa.

Mengulas ketidak hadiran MP Hulu Selangor itu, beliau memberitahu, beliau masih dirawat di hospital dan doktor menasihatkan beliau agar tidak terlalu banyak bergerak bagi memastikan beliau sembuh dengan segera.

Menurutnya, jika ada pilihanraya sekalipun, BN sendiri sebenarnya risau kerana parti itu semakin ditolak rakyat termasuklah di Hulu Selangor sendiri.

“Buat apa hendak adakan pilihanraya, beliau (Dr. Zainal) masih sihat, lagipun ini kawasan kita, PKR tidak gentar berdepan dengan Umno/BN,” katanya yang menerima tepukan gemuruh di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa malam tadi.

Mengulas isu sama, Pengarah Strategik PKR, Chua Tian Chang berkata, Perdana Menteri (PM) gagal menjenguk rakyat di Hulu Selangor sejak 10 tahun lalu termasuklah di era Abdullah Ahmad Badawi.

Tian yang juga MP Batu memberitahu, gimik perletakan jawatan MP Hulu Selangor itu dibuat oleh Umno kerana Najib akan mengadakan secara satu program Umno di kawasan itu walaupun sepanjang menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) beliau tidak pernah datang di Hulu Selangor.

Terdahulu, beberapa laman blog mensensasikan kononnya Ketua Penyelaras PKR kawasan Rasa, Francis Xavier Subramaniam, telah menerima surat perletakan jawatan Dr. Zainal dan ia telah diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Laporan itu turut disiarkan oleh akhbar berbahasa Tamil.

Majlis Pimpinan Tertinggi, N. Gobala Krishnan, yang turut berucap pada malam itu menyelar berita itu dan mengumumkan bahawa satu laporan polis akan dibuat mengenainya.

Pada pilihanraya umum (PRU), Dr. Zainal yang juga mantan Timbalan Menteri Besar menumbangkan G. Palanivel Govindasamy dengan majoriti 198 undi.

Tumbangnya Presiden MIC itu sesuatu diluar jangkaan banyak pihak kerana beliau merupakan penyandang kawasan itu sejak sekian lama.

Turut serta di majlis itu ialah pimpinan utama PKR Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali, Ketua Wanita, Zuraida Kamarudin serta tiga Exco Selangor, Gan Pei Nei, Elizabeth Wong dan Dr. Xavier Jeyakumar.

Majlis itu berjaya menarik kehadiran kira-kira 10,000 orang termasuk sekumpulan masyarakat dari Sarawak yang diketuai Jawali Sazonet.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan dipetik sebagai berkata Umno akan mengadakan program di Hulu Selangor 9 Januari ini dan pemilihan lokasi itu atas kehendak bosnya, Najib Razak.

Comments