Serang Gereja : Tindakan Tidak Matang

Tindakan menyerang gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati dianggap sebagai satu tindakan yang tidak matang dalam menghadapi sesuatu situasi yang melibatkan sensitiviti kaum dan kepercayaan keagamaan dinegara ini, yang dijamin hak dan kebebasan menurut Perlembagaan.

Hal ini dijelaskan Timbalan Pengerusi Majlis Gereja Katholik Paroki, Jimmy Jawatah dalam kenyataan medianya baru-baru ini.

“Saya bersimpati dengan kejadian Gereja Metro dan meminta mereka bersabar, akur dengan apa yang berlaku. Seterusnya, saya menyeru semua pengikut bertenang dan jangan melakukan sebarang tindakbalas kerana itu bukan budaya umat Kristian,” katanya.

Jimmy yang juga Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata demikian sebagai maklumbalas beliau terhadap satu laporan portal Malaysiakini.com yang memetik bahawa Gereja Metro yang terletak di Desa Melawati telah dibom awal pagi Jumaat oleh sekumpulan yang tidak dikenali.

Terdahulu, wujud kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, yang membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam penerbitan majalah ‘The Herald’.

Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan pelaksanaannya setelah pihak KDN berjaya dalam rayuannya yang dibuat sehari selepas itu untuk menangguhkan keputusan itu sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes tersebut.

Comments