Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

Khalid Samad Lelaki Ke-2 Terhangat Sepanjang 2009

Wednesday, 13 January 2010

Ahli Parlimen (MP) Shah Alam, Khalid Samad diletakkan di tangga ke-2 sebagai lelaki paling hangat yang telah mencetuskan berita, polemik kontroversi sekali gus menjadi bahan berita sensasi, demikian menurut laman sesawang Google.com sepanjang 2009.

Pimpinan PAS Selangor itu turut mengatasi dua menteri kanan dari Barisan Nasional iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang masing-masing berada di tangga ke-3 dan ke-4.

"Saya hangat atau popular mungkin kerana kutukan, kritikan mahu pun teguran oleh pihak tertentu. Bagi saya, bukanlah nama (Khalid Samad) itu yang perlu ditonjolkan tetapi risalah dakwah Islam itu yang perlu ditekankan agar masyarakat Malaysia benar-benar faham bahawa Islam itu bersifat syumul untuk semua manusia,” katanya.

Menurutnya, kehangatan dan populariti beliau mungkin memberi kesan baik atau tidak baik, tetapi beliau tetap komited untuk terus menyumbang sebanyak mungkin demi kebaikan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Khalid berkata, beliau juga tidak menolak bahawa isu-isu seperti Kerajaan Perpaduan, kerjasama dengan Umno, perbezaan pendapat dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin selain isu Kalimah Allah antara sebab nama beliau hangat dan popular di laman maya sehingga mengundang reaksi daripada para penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan PR adalah lumrah biasa.

"Itulah semangat demokrasi yang cukup subur diamalkan selama ini berbanding BN yang walaupun memerintah lebih 50 tahun, ia kekal dengan pendekatan mengongkong suara pemimpin mereka sendiri dan rakyat Malaysia," kata beliau.

Beliau memberi contoh betapa, kerajaan BN sehingga kini masih mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk mengongkong media agar memberi keuntungan politik kepada mereka.

"Pemimpin Umno sendiri takut menegur pemimpin nombor wahidnya walaupun melakukan jenayah besar sehingga menjejaskan imej negara di seluruh dunia.

"Jika pimpinan PR berbeza pendapat, media yang dikuasai BN akan mempropagandakannya sebagai krisis tapi apabila MCA, MIC dan Gerakan bersama Umno bergaduh, mereka tak pula kata macam itu," katanya kesal.

Sehubungan itu, katanya, pada tahun ini isu-isu yang ditimbulkan dengan tujuan melaga-lagakan dan mengelirukan rakyat pelbagai kaum dihentikan segera kerana Islam amat menitikberatkan keadilan untuk semua dengan meletakkan hak seseorang atau kumpulan itu pada tempat yang sewajarnya.

"Segala permasalahan di dunia ini hatta yang kecil sekali pun, Islam pasti ada jalan penyelesaiannya kerana Islam itu adalah agama yang benar dan tiada yang benar melainkan Islam," kata beliau.

Google.com meletakkan Khalid di tangga ke-2 lelaki terhangat sepanjang 2009 di belakang mantan Menteri Besar PR Perak, Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin.

Khalid, yang juga adik kepada MP Johor Bahru, Shahrir Samad itu turut tersenarai dalam 10 insan terhangat di Malaysia sepanjang 2009 bersama-sama selebriti Fasha Sandha, Zakiah Anas, Sufiah Yusof, Elizabeth Wong, Kartika Sari Dewi Shukarno dan Manohara Odelia Pinot.

Beliau yang pernah bertanding dalam empat pilihan raya umum (PRU) sejak 1990 memenangi Parlimen Shah Alam pada 8 Mac 2008 dengan menewaskan mantan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsudin dengan majoriti 9,314 undi.

0 comments:

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat