Kerajaan Negeri BN Gagal Urus Terengganu

Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan tangungjawabnya dalam menguruskan negeri itu dengan baik demi kepentingan rakyat.

"Kegagalan BN dalam menyediakan khidmat dan prasarana berpunca daripada sikap mengambil kontraktor yang tidak berpengalaman untuk mengendalikan tugas yang diamanahkan," kata Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Faris Musa.

Menurut beliau, walaupun pelbagai masalah di Terengganu belum selesai, kini timbul pula cadangan menubuhkan Institut Jantung dengan mengambilalih satu bangunan resort yang menelan belanja mencecah RM27 juta.

"Mereka akan terus mencipta idea untuk mengaut keuntungan. Keuntungan daripada wang rakyat akan diambil daripada projek-projek yang dicadangkan namun akhirnya semua projek yang dirancang ini tidak menjadi dan menghadapi masalah," tambah beliau.

Menurut Faris, antara sebab kenapa kerajaan negeri Terengganu menjadi semakin tidak stabil ialah kerana pimpinan Umno dan BN semakin bergolak dan berpecah belah.

Faris berkata, sehingga kini sudah wujud tiga kumpulan yang menyebabkan kerajaan BN Terengganu semakin kucar-kacir, iaitu kumpulan Hishamuddin, Ahmad Said dan Idris Jusoh.

"Kehadiran Hishamudin sebagai Pengerusi Umno Terengganu bukan memulihkan keadaan, tapi ia dilihat menyebabkan keadaan semakin parah," tambah Fariz lagi.

Comments