Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

Gugur Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Untuk Kristian

Wednesday, 13 January 2010

Pimpinan Besar Kristian di Sabah,  Datuk Clarence Bongkos Malakun menyarankan agar masyarakat Kristian menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah 'Allah' bagi mengekalkan keharmonian dan keselamatan di dalam negara ini.

Menurut tokoh itu, tuntutan itu harus dinilai semula berikutan bantahan besar-besaran umat Islam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' oleh Herald-The Catholic Weekly.

"Walaupun Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan 'Allah' bukan hanya boleh digunakan orang Islam, kita harus sedar reaksi masyarakat dan organisasi Islam terhadap perkara itu.

"Masyarakat Kristian harus faham bahawa umat Islam marah kerana perkataan 'Allah' sudah digunakan di Malaysia sejak lama lagi dan ia juga merujuk kepada Tuhan bagi Islam.

"Saya sedar, kenyataan ini akan menyebabkan ramai penganut Kristian menyalahkan saya, tetapi jika penganut Kristian yang sebenar, kita harus memaafkan dan saling sayang-menyayangi," ujar beliau.

Kenyataannya turut diterbitkan oleh hampir kesemua akhbar tempatan di Sabah, baru-baru ini.

Beliau menambah, setelah melihat kejadian gereja dibakar di semenanjung, mereka seharusnya menyedari kemelut ini dan segera menyelesaikannya tanpa membuang masa ketika menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah itu turut bimbang jika isu tersebut dibiarkan, maka dua kelompok pelampau agama antara Islam dan Kristian akan terbentuk lalu keadaan menjadi semakin parah selepas itu.

"Kalau mana-mana pihak menang isu itu di mahkamah, mesti ada satu pihak lagi yang tidak berpuas hati dan isu ini akan berpanjangan. Jalan terbaik ialah gugurkan tuntutan," ujarnya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah.

Clarence berkata, kenyataannya itu tidak dipengaruhi atau 'diarahkan' pihak tertentu, sebaliknya ia dibuat setelah melihat konflik antara agama yang mula kelihatan.

Beliau percaya, bahawa tuntutan penggunaan kalimah Allah itu dibuat oleh pemimpin Kristian yang mempunyai kepentingan atau agenda tertentu.

"Saya terima banyak panggilan telefon dan maklumat daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) dari penganut Kristian yang bersetuju dengan saya," katanya.

Mengulas isu yang sama, Naib Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), Mohd Zaki Laumin berkata, beliau menyokong penuh saranan Presiden Majlis Jaksa Pandamai Malaysia itu yang rela menggugurkan perkataan Allah, bagi menjaga perasaan masyarakat Islam di negara ini.

“Kita hidup dalam sebuah negara yang paling aman, dan tidak perlu bagi kita untuk terlalu emosi dalam sensitiviti agama,” katanya.

Sementara itu, Paderi Pusat Putra Kristian di Serdang, Selangor, Vincent Chan Wei San dipetik sebagai berkata, beliau akan cuba menjernihkan semula keadaan atau 'ketegangan' ketika ini dengan mengelak daripada menggunakan kalimah Allah dalam ceramah atau khutbahnya.

"Umat Islam dan penganut Kristian sepatutnya bersahabat dan bukannya bermusuhan antara satu sama lain.

"Walaupun Allah adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud Tuhan dan mahkamah telah membenarkan penggunaannya di sini, saya akan mengelakkannya demi masyarakat Islam di negara ini," katanya menerusi blog.

Wei San turut menyeru orang ramai supaya tidak menyertai kumpulan di dalam Facebook yang menyokong penggunaan nama Allah oleh semua rakyat Malaysia kerana kempen itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah.

1 comments:

Bah Lontok said...

Bah sangat menyokong pendirian pemimpin2 PAS terutamanya Tn Guru Hj Nik Aziz berkenaan sokongan terhadap kejayaan perjuangan 'Herald the Catholic Weekly'.

Terlalu lama perkara perjuangan ini untuk diselesaikan, setelah selesai dengan keputusan Mahkamah membenarkan 'Herald' mengunakan perkataan "ALLAH" dan juga diterbitkan dalam Bahasa Melayu, banyak pehak pula yang menentang nya sampai ada yang bom atau bakar gereja.

Hanya Pemimpin2 PAS sahaja yang nampak bersetuju. Maka dengan ini pehak pendakwah Catholic akan lebih memudahkan tugas2 dakwah nya dikalangan kaum kami. Ada kemungkinan lebih ramai yang minat agama Catholic kerana ianya dianggap lebih kurang sama saja dengan Islam, bahkan ianya lebih senang kerana tidak banyak yang perlu dipelajari.

Selain dari itu bab makan minum pun tidak berubah boleh makan dan minum semua nya. Kerana tidak ada halal atau haram dalam segi pemakanan. Kejayaan 'Herald' ini akan memberi kan lebih ramai kaum asli memeluk agama Catholic.

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat