Dua Siswa Ditahan, FRU Penuhi Kampus UKM



Dua mahasiswa ditahan polis apabila kumpulan Pro Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang melakukan demonstrasi di kampus berkenaan sejak tengah hari tadi, ekoran rasa kurang senang mereka terhadap pelaksanaan sistem pilihan raya kampus yang tidak telus.
"Mahasiswa UKM terus berdemonstrasi. Polis dan FRU telah mula memenuhi kawasan kampus dan dua orang mahasiswa telah pun ditahan," kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Hilman Idham.
Muhammad Huzaifah Jusof Khadidi dan Muhd Zarimi Mohamad @ Abdullah ditahan ekoran bantahan mereka berhubung keputusan pilihan raya di dua buah fakulti. Mereka ditahan di masjid universiti selesai solat Jumaat petang tadi.
Kedua-dua mereka akhirnya diminta memberikan keterangan ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang petang ini, berhubung demonstrasi sebentar tadi.
Dalam perkembangan semalam, Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) mendakwa bahawa kakitangan universiti telah menjalankan kempen untuk memenangkan calon-calon tajaan HEP, walaupun waktu berkempen telah ditamatkan sejak 12 tengah malam tadi.
Pengerusi Pro Mahasiswa (Pro-M) Afendy Abdul Rahim berkata, terdapat pondok panas didirikan di luar kawasan pembuangan undi; iaitu di beberapa buah kolej kediaman untuk melancarkan 'kempen saat-saat akhir', untuk memenangkan calon Pro Aspirasi.
Bercakap daripada pusat pengundian Kolej Kediaman Keris Mas, beliau berkata, taktik berkempen saat-saat akhir itu bertentangan dengan peraturan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
"Sukarelawan kami datang sendiri ke pondok panas ini dan mendapati SPKG (Sistem Penilaian Kopetansi Generik) sedang berkempen pada saat akhir dengan mengedarkan risalah kempen di mana terdapat hanya muka, nombor calon dan nama calon Aspirasi sahaja," kata Afendy.
Beliau yang juga bekas anggota MPP wakil Fakulti Pendidikan berkata, pihak universiti melayannya secara tidak profesional apabila beberapa perkara tersebut dibangkitkan.
"Malah, ada risalah kempen yang dilekatkan di pintu masuk universiti, apabila kita bertanya, salah seorang felo menengking saya dengan berkata, "Kau buat kerja kau, dan biar aku buat kerja aku,"," kata Afendy.

Comments