Kegagalan Menyiasat Punca Polis Dipersoalkan

Naib Presiden PAS, Dato' Mhafuz Omar persoalkan kredibiliti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di atas kegagalan agensi itu menyelesaikan siasatan berhubung kes kehilangan enjin jet pemintas F-5E seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Mahfuz yang ditemui selepas Majlis Sumbangan Peralatan Sekolah di Pejabat PAS Pokok Sena semalam, berkata, beliau difahamkan laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 4 Ogos 2008 yang lalu dan nota pemakluman kepada Jabatan Peguam Negara (AG) hanya dihantar pada Mei 2009.

"Persoalannya, kenapa PDRM perlu ambil masa yang terlalu lama untuk menyiasat insiden yang sebegini serius dan penting?

"Sembilan bulan bukannya tempoh yang singkat, itu pun masih tidak boleh selesai, perlu kepada lanjutan tempoh siasatan, ini yang meragukan dan rakyat persoalkan," katanya.

Menurut Mahfuz, kerajaan perlu menyatakan bentuk tindakan yang telah diambil terhadap syarikat yang memonopoli kerja-kerja penyelenggaraan enjin pesawat pejuang milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) iaitu AIROD SDN BHD.

"Kejadian enjin jet F-5E hilang itu dikatakan berlaku ketika dalam perjalanan dari pengkalan TUDM di Butterworth ke AIROD untuk diselenggarakan, sudah tentu ada kaitannya dengan syarikat itu," katanya.

Beliau turut mengulangi desakannya supaya ditubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan peringkat Parlimen yang diyakini lebih bersifat terbuka, berintegeriti dan telus dalam usaha menjejaki mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini.

Mahfuz berkata, perletakan jawatan seorang pegawai berpangkat Briged Jeneral dan tindakan memberhentikan perkhidmatan 20 anggota lain yang dikatakan tiada kaitan dengan kes ini turut mengundang keraguan masyarakat yang melihat seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu berkaitan dengan kes ini.

Ini sekaligus menolak kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berjanji tidak akan menyembunyikan siasatan kes dari pengetahuan umum.

Mahfuz menuntut Kementerian Pertahanan mengemukakan alasan ke atas tindakan memberhentikan kerja 20 anggota tersebut dan menyatakan alasan perletakan jawatan pegawai tinggi itu kepada masyarakat umum untuk mengembalikan keyakinan mereka.

"Kalau betul mereka terlibat, kerajaan perlu mengheret mereka ke mahkamah terbuka dan bukannya dakwa mereka di mahkamah tentera yang sudah tentu perbicaraannya tidak akan didedahkan kepada pengetahuan umum," soalnya.

Menjawab soalan pemberita kemungkinan ada motif tertentu berkaitan pendedahan isu ini, Mahfuz berkata, beliau tidak mengetahui agenda sebenar tindakan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Zahid Hamidi mendedahkan satu demi satu kepincangan yang berlaku di kementerian yang sebelum ini dibawah seliaan Najib.

Beliau juga mengulangi pendiriannya menuntut Najib segera memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan pembentukan jawatankuasa khas menyiasat kes kehilangan enjin-enjin jet F-5E dan peralatan lain yang mengakibatkan kerugian kepada negara.

"Saya akan pergi ke pejabat Perdana Menteri dalam minggu ini dan serahkan sendiri surat meminta supaya sidang khas itu diadakan segera," jelasnya.

Sumber: Harakahdaily

Comments