Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

SPRM Kena Siasat Kementerian Pengangkutan

Wednesday, 11 November 2009

Pembelian empat set tren Diesel Multiple Units (DMU) terpakai yang berusia 20 tahun oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) pada harga RM30 juta dikritik oleh empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Mereka menyifatkan harga pembelian itu tidak masuk akal sedangkan Argentina dan Costa Rica hanya membelinya dengan harga kira-kira RM10 juta, apatah lagi usia DMU berkenaan sudah hampir ‘putus darah’.

Kemuncaknya ialah apabila salah seorang daripada mereka, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Kementerian Pengangkutan berhubung pembelian yang dianggap tidak masuk akal.

Tegasnya, penyiasatan itu juga selari dengan jawapan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew bahawa pihaknya membeli DMU berikutan tiadanya peruntukan yang mencukupi.

“Apakah ada sesuatu, apakah ada sesuatu, saya ulangi lagi sekali Tuan Speaker, apakah ada sesuatu? Saya berharap, saya meminta SPRM tolong siasat menteri ini.

“Kalau ada penyelewengan, heret dia ke mahkamah, dakwa dia. SPRM kata semua wakil rakyat nak dikaji, kajilah dulu menteri ini, menteri ini jelas waktu duit tak ada (membeli DMU dengan mahal),” katanya yang mencelah sewaktu Hoi Chew menggulung perbahasan peringkat dasar Bajet 2010 di Dewan Rakyat malam tadi.

Terdahulu, dalam celahannya, Mohamad mendakwa, beliau mendapat maklumat bahawa Lembaga Pengarah KTMB tidak bersetuju dengan pembelian itu, namun ia tetap dilakukan dengan arahan Kementerian Pengangkutan.

“Itu satu persoalan besar, sudahlah duit tak ada, beli barang yang sudah buruk, lebih mahal daripada negara-negara lain.

“Pelik kita... pelik, orang zaman sekarang dah guna kereta api elektrik kerana tidak mahu pencemaran dan lebih laju, dia ada cara automatik nak sampai stesen berhenti sendiri, kalau manual macam ini, kereta api buruk macam ini tak selamat orang menumpang,” tegasnya.

Beliau turut membidas ketidakhadiran Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat untuk menjawab soalan penting daripada Ahli-ahli Parlimen sambil menyindir sama ada kesibukan itu berkaitan dengan tugas rasmi atau urusan peribadi.

Isu berkenaan meletus apabila pembelian DMU didedahkan oleh Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) yang kemudiannya disambut oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Datuk Halimah Mohd. Sadique (BN-Tenggara).

Ahmad sewaktu mencelah, mengkritik pembelian itu kerana kelajuan DMU hanyalah 80 kilometer sejam berbanding kereta api kargo yang berkelajuan 90 kilometer sejam.

Halimah pula mempersoalkan sama ada sistem rel sedia ada akan ditukar kerana ia adalah untuk kegunaan tren Electric Multiple Units (EMU).

“Umur sudah 20 tahun, dah nak ‘putus darah’ dah, berapa lama lagi jangka hayat dia? Adakah kos selenggara rendah? Adakah kerajaan boleh memberi keyakinan kos selenggara dia tidak tinggi,” ujarnya.

Sumber: Utusan

0 comments:

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat