Nizar Dengan Artikel 72, Husam Dengan Royalti


Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kesahihan sebarang prosiding di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana-mana negeri tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah adalah bukti yang kukuh tentang kedudukan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sebenar dan sah di sisi Undang-Undang kerana penggugurannya telah di buat di luar DUN Perak.

Mahkamah Persekutuan yang akan mendengar rayuan Mohammad Nizar pada 5 November ini mesti berpandukan kepada Artikel 72 ini kerana hanya keputusan yang dibuat melalui usul dan undian tidak percaya sahaja kepada Menteri Besar di dalam DUN Perak akan melucutkan jawatan tersebut. Perkara yang mesti ditekankan adalah keputusan yang mesti diluluskan di dalam DUN dan bukannya di luar bidang kuasa DUN itu sendiri.

Di Kelantan, Kerajaan Kelantan sedang mengkaji kemungkinan membatalkan perjanjian menyerahkan hak cari gali kepada Petronas jika royalti petroleum tidak diberikan, kata exco ekonomi dan kewangannya.

Mengulas kenyataan perdana menteri untuk menyerahkan wang ehsan kepada Kelantan, Datuk Husam Musa berkata isu membatalkan perjanjian itu akan dikaji oleh panel peguam yang dilantik kerajaan negeri.

Husam turut mempertikaikan penggunaan istilah "wang ehsan" sebagai bentuk bayaran kepada Kelantan, sedangkan "bayaran royalti" digunakan untuk bayaran di Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Kata Husam, kerajaan negeri mahu wang ehsan dibayar kepada kerajaan negeri dan sebuah badan penyelaras ditubuhkan yang turut dianggotai wakil kerajaan pusat untuk memantau penggunaan wang tersebut.

Mengenai penubuhan panel guaman tersebut, Husam berkata, antara isu yang dicadang dipertimbangkan oleh panel guaman ini ialah:

1. Kemungkinan mengambil tindakan mahkamah membatalkan perjanjian penyerahan hak kepada PETRONAS untuk mencarigali dan mengeluarkan sumber petroleum dan lautan negeri Kelantan 1975 jika sekiranya tuntutan royalti minyak tidak dipatuhi.

2. Kemungkinan untuk kerajaan negeri mengambil tindakan mahkamah di luar negara termasuk perintah injunksi menghentikan pengeluaran di JDA (Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand) dan CAA (Kawasan Pengurusan Komersial Malaysia-Vietnam) yang melibatkan entiti dan syarikat antabangsa.

Pengumuman perdana menteri bahawa kelantan hanya layak menerima 'wang ehsan' dan bukannya royalti dan wang ini pula akan diuruskan oleh kerajaan pusat, adalah satu keputusan politik.

Ia membelakangkan semangat federalisme, kedaultan undang-undang dan penghormatan terhadap perjanjian dan menekankan kepentingan politik semata-mata.

Husam juga berkata, keberkesanan pengurusan oleh kerajaan pusat juga boleh dipertikaikan.

Sebagai bukti, dengan jumlah royalti yang besar untuk Terengganu bagi tempoh 20 tahun lalu, masih gagal membanteras kadar kemiskinan yang kekal tinggi di Terengganu.

Kerajaan negeri akan terus mengadakan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung tuntutan royalti itu.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik.

Comments