Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

Ramai Mati H1N1, Data Disembunyi?

Friday, 2 October 2009

Puan J berumur 45 tahun. Beliau seorang surirumah sepenuh masa dan tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan yang teruk.

Yang tercatat hanyalah beliau pernah terjatuh dua tahun lalu, dan kesakitan pada pinggangnya kadang-kadang terasa hingga ke akhir hayatnya.

Beliau jatuh sakit pada Jumaat 18 September, dua hari menjelang hariraya Aidil Fitri dan terus dihantar ke Hospital Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Berasaskan simptom pada penyakitnya, pihak hospital mengesyaki beliau dijangkiti H1N1. Lalu pada hari raya kedua iaitu pada 21 September, spesimen tisu dan darah beliau dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu untuk diuji dan disahkan samada beliau benar-benar mengalami penyakit H1N1.

Namun pada hari raya ketiga, Puan J disahkan meninggal. Bagi para doktor dan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri, Puan J mati kerana H1N1, namun sehingga tulisan ini dibuat, tidak pasti apakah beliau mati kerana H1N1 atau sakit lain.

Di Baling, Kak Cik M, 48 tahun, tiba-tiba pengsan pada malam hari menjelang hari raya iaitu 19 September. Beliau terus dibawa ke hospital Baling.

Oleh kerana terus tidak sedarkan diri, dia dipindahkan ke hospital yang lebih besar iaitu Hospital Sungai Petani, Kedah.

Setelah terus tidak sedarkan diri selama empat hari, Kak Cik M meninggal dunia pada hari raya ke empat iaitu hari Rabu 23 September.

Bagi kakitangan dan Hospital Baling dan Sungai Petani, Kak Chik M meninggal kerana H1N1. Tambahan pula beliau mempunyai rekod kencing manis. Ini berdasarkan simptom dan ciri-ciri klinikal pada Kak Cik. Namun ia tidak dapat disahkan oleh mereka selagi tidak dibuat ujian saringan khas pada tisu dan darahnya. Hanya Kementerian Kesihatan yang boleh mengesahkan beliau mati kerana H1N1 atau tidak.

Inilah dua cerita yang sampai kepada penulis tentang H1N1. Ia diperolehi melalui kunjungan hari raya ke rumah sahabat handai serta saudara mara sepanjang Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini.

Di sebalik cerita itu, sejak sekian lama, angka kematian akibat H1N1 terus kekal di tangga 77 orang. Hanya sedikit perubahan berlaku sepanjang bulan puasa dan Syawal ini.

"Adakah puasa telah mengekang H1N1?" tanya saya kepada seorang pegawai kanan Jabatan Kesihatan sebuah negeri ketika mengunjunginya di hari raya.

"Dari segi data dan laporan medianya kelihatan macam itu. Sejak puasa, kes-kes H1N1 jatuh merudum," katanya.

"Namun, boleh jadi faktor lain yang mempengaruhi angka ini. Misalnya, sejak kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan mengawal cara kita melaporkan hal ini," kata beliau yang kebetulan pegawai yang menyelia isu H1N1 di negeri berkenaan.

Boleh jadi juga benar apa yang dikatakan pegawai kesihatan ini. Kalau sebelum ini, semua yang mati dan ada simpton H1N1 akan diisytiharkan sebagai mati kerana H1N1.

Mungkin kerana angkanya terus meningkat dan sudah menjadi ketakutan kepada masyarakat, mereka mula mengawal maklumat yang dibekalkan kepada media yang dikeluarkan oleh menteri dan ketua pengarah kesihatan.

Antaranya kes Allahyarham Azman Mohamad Nor, Adun Bagan Pinang yang meninggal dunia Jumaat, 4 September lepas di Hospital Pakar Seremban.

Ada media yang melaporkan beliau meninggal akibat sakit jantung dan ada media yang melaporkan akibat jangkitan dalam darah.

Sumber tidak rasmi pula melapor ia berpunca dari H1N1.

Menurut Tan Sri Isa Samad ketika ditemui di tanah perkuburan semasa jenazah Azman dikebumikan, Azman membuat pembedahan jantung dua bulan sebelum kematiannya.

"Minggu lepas, dia masih sihat. Dia datang dalam majlis gotong royong membersihkan kubur ini," kata beliau di tanah perkuburan Islam Bagan Pinang.

Menurut Kementerian Kesihatan, pesakit jantung adalah yang berisiko tinggi diserang H1N1. Berdasarkan kepada itulah juga, anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali sangat membataskan pertemuannya dengan orang ramai selepas beliau menjalani pembedahan jantung baru-baru ini.

Dalam pada jumlah kematian baru tidak lagi dilaporkan, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai bahawa penularan wabak influenza A (H1N1) masih aktif dalam komuniti walaupun ia menunjukkan pengurangan kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata keadaan ini turut berlaku di peringkat global.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sehingga kini terdapat lebih 300,000 kes yang disahkan positif di 191 negara dengan 3,917 kematian didaftarkan.

Di Malaysia, jumlah kematian masih kekal 77 orang dengan tiada kematian baru.

Dr Mohd Ismail mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang digariskan kementerian di samping mengamalkan gaya hidup sihat, rehat dan tidur yang cukup, minum air secukupnya dan amalkan pemakanan yang sihat.

"Individu yang berisiko tinggi mesti mendapatkan rawatan dengan segera apabila mengalami sebarang simptom influenza like illness (ILI)," katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa wabak itu hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata daripada 70 pesakit atau 9.4 peratus yang disahkan positif H1N1, 18 kes atau 26 peratus kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 17 daripadanya golongan berisiko tinggi.

Seramai 132 pesakit baru dengan gejala ILI dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan 232 kes telah didiscaj, katanya.

Dalam pada angka kematian di negara ini terus kekal di tangga 77, cerita tentang kematian Kak J dan Kak Cik M terus menjadi misteri kepada keluarganya. Mengikut doktor, mereka mati kerana H1N1 tetapi angka dalam rekod Kementerian Kesihatan hanya kekal pada 77 sahaja.

Sumber: Harakahdaily

0 comments:

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat