Pengikut Blog

Peringatan Dari Langit

Kemalagan Maut di Gurun

Saturday, 19 September 2009

GURUN – Empat sekeluarga rentung manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah treler di Kilometer 94.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dekat sini awal pagi ini.

Mereka yang terbunuh ialah Pegawai Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Mohd. Yusof Ahmad, 53; isterinya, Hasnah Hamzah, 52, serta dua anak gadis mereka, Hazwani Izati, 24, dan Hafizatun Alimi, 20.

Kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi itu melibatkan kereta Perodua MyVi dinaiki keluarga terbabit serta sebuah Perodua Viva, Naza Citra dan treler.

Empat beranak itu terperangkap dalam kenderaan mereka yang meletup dan terbakar selepas merempuh sebuah kereta jenis Naza Citra dan treler.

Sebelum itu, treler terbabit yang membawa peralatan komputer dipercayai terbabas dan terbalik sehingga melintang di atas laluan lebuh raya.

Seorang pemandu Naza Citra, Kamarulzaman Husain, 36, yang mengikut dari belakang tidak sempat memberhentikan kenderaannya lalu merempuh treler berkenaan.

Selepas itu, kereta yang dinaiki keluarga malang tersebut pula terlanggar dua buah kenderaan itu.

Sebuah kereta Viva yang dipandu Azhar Abdul Rahman, 38, juga tidak sempat mengelak dan kemudian merempuh kereta Perodua MyVi berkenaan dan terbabas ke bahu lebuh raya.

Utusan Malaysia difahamkan, ketika kejadian, keadaan kawasan terbabit agak berkabus tebal ekoran hujan lebat yang turun lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kesemua mangsa yang maut itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Nuri, Alor Setar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

‘‘Kita percaya kereta MyVi itu dipandu oleh Hasnah. Mereka sekeluarga dalam perjalanan membawa Mohd. Yusof yang mengalami sakit perut untuk menemui doktor pakar di HPP,” katanya di sini hari ini.

Hashim memberitahu, pada peringkat awal, polis tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa kerana semua dokumen pengenalan diri mereka musnah terbakar.

Bagaimanapun, semakan butiran kereta berkenaan kemudian mendapati ia milik Mohd. Yusof dan disahkan oleh anggota keluarga yang lain.

‘‘Kamarulzaman cedera termasuk patah di beberapa bahagian badan dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim sebelum dipindahkan ke Hospital Pantai Utara Sungai Petani.

‘‘Sementara Azhar yang juga cedera parah dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut. Keadaan kedua-dua mangsa kini stabil,” katanya.

Tambah Hashim, pemandu treler berusia 32 tahun dari Seri Kembangan, Selangor yang cedera ringan kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Dalam pada itu, seorang pekerja syarikat kargo, Norhamidi Daud, 36, yang berada di belakang semua kenderaan berkenaan berkata, kemalangan itu berlaku dalam tempoh yang begitu singkat.

‘‘Selepas ternampak kereta tersebut merempuh antara satu sama lain, saya memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk membantu mangsa.

‘‘Bagaimanapun, sebaik sahaja turun dari kereta, saya terdengar seolah-olah bunyi letupan sebelum melihat asap tebal di lokasi itu,” katanya.

Dia yang dalam perjalanan dari Yan ke tempat kerjanya di Pulau Pinang berkata, tidak lama kemudian orang ramai membantu mengeluarkan mangsa sebelum melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Sumber: Utusan

0 comments:

Sahabat Singgahan

Nuffnang

Malaysiakini

KeadilanDaily

UMNO Online

Utusan Online

Kosmo Online

 
 
 

Top 10 Blog Sahabat