Bila Dah Naik, Takkan Ada Turun

Hasrat perokok di negara ini untuk melihat harga barangan tersebut turun menjelang pelaksanaan penuh Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) pada 1 Januari tahun depan tidak akan menjadi realiti.

Ia disebabkan rokok termasuk barangan sensitif seperti beras dan arak yang dikecualikan daripada perjanjian AFTA.

Ini bermakna negara-negara yang menandatangani perjanjian tersebut bebas untuk melaksanakan cukai terhadap barangan berkenaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, cukai terhadap rokok dan arak tidak akan diturunkan walaupun AFTA dilaksanakan sepenuhnya dan semua negara yang menyertai perjanjian berkenaan telah menyatakan persetujuan mereka.

Kesemua negara terbabit bebas untuk melaksanakan cukai bagi memastikan barangan sensitif terbabit tidak diperdagangkan sewenangnya kerana ia akan memberikan kesan terhadap masyarakat.

“Barangan yang sensitif lain seperti arak dan rokok juga tidak akan diturunkan dan ia telah dibincangkan antara negara-negara ASEAN dan telah dipersetujui.

“Cukai tembakau tidak diturunkan sebab kita tidak mahu galakkan orang ramai merokok begitu juga dengan arak,” katanya.

Pelaksanaan AFTA akan dilakukan sepenuhnya oleh enam negara asal ASEAN bermula 1 Januari tahun depan apabila kebanyakan duti import dimansuhkan.

ASEAN khususnya Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand atau ASEAN-6 telah mencatatkan kemajuan yang signifikan dalam mengurang dan menghapuskan tarif menerusi Skim Keutamaan Sama Rata (CEPT) dalam usaha mewujudkan AFTA.

Bagi negara ASEAN lain iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam akan menurunkan tarif import sepenuhnya pada 2015.

p/s: jika kerajaan benar-benar tidak mahu menggalakkan orang ramai merokok, kenapa kerajaan masih bertindak seperti tarik tali iaitu masih menjualnya kepada perokok. Ini adalah satu sifat rektorik kerajaan. Cuba lihat ayat yang diwarnakan di atas

Comments