Dalam Perjuangan, Masa Bukanlah Ukuran

"Sampai bila nak melawan?" seorang rakan bertanya, seolah-olah memang ada penamatnya perjuangan ini. Jawapan yang nilainya agak sastrawi; 'Sehingga bertemu dua hal, iaitu sama ada syahid atau menang."

Kembali kepada isu ISA ini, antara yang paling lama merengkok dalam penjara ialah Said Zahari, 17 tahun lamanya.

Maka, seorang rakan bertanya, "Lagi rugi dan tak kasihankah dia terhadap keluarganya?"

Soalan ini sepatutnya ditanyakan kepada kerajaan, polis yang menahan orang yang tak bersalah itu. Dan, tidak sepatutnya kita bertanyakan soalan ini kepada tahanan ISA.

Ada yang sampai isteri mereka menuntut fasakh, bercerai-berai dalam keluarga, meninggal di dalam tahanan seperti Dr Burhanuddin al-Hulaimy. Dan, bukan mereka yang bersalah, sebaliknya tuduhan ke atas mereka telah direka-reka dan mereka enggan mengaku ke atas tuduhan yang direka-reka itu.

Oleh kerana insan seperti Said Zahari enggan mengaku suatu perkara yang tidak dilakukannya, maka tempoh tahanannya dilanjutkan terus selama dua tahun sehinggalah lengkap 17 tahun beliau di dalam penjara tersebut.

Maka, masa bukan lagi persoalan penting. Yang penting, apakah kita mahu berlawan, mahu bergabung dengan kezaliman pemerintah setelah ditahan, dibasuh fikiran oleh ISA atau terus berlari daripada buruan penguasa yang zalim sehingga penguasa berasa tertekan? Ini saja pilihan yang ada.

Mungkin, sengaja Allah s.w.t bangkitkan kisah Ashabul Kahfi dalam Surah al-Kahfi itu. Mereka ini telah 'dirugikan' masa mereka di dalam gua itu selama 700 tahun. Walaupun ada beberapa pendapat yang mempertikai mengenai berapa ratus tahun mereka ditidurkan, namun hal itu tidak penting.

Yang penting adalah, al-Quran menjelaskan kepada kita bahawa dalam perjuangan ini, berapa banyak masa yang terbuang sekali pun, tetaplah dianggap bernilai, berkualiti dan bermutu dalam pandangan Tuhan, walaupun manusia berasa suatu kerugian hatta terpenjara 17 tahun seperti Said Zahari.

Kita juga boleh berkata, kenapa Ashabul Kahfi habiskan masa berlindung dalam gua sampai 700 tahun itu? Apakah yang Ashabul Kahfi dapat? Ketakutan? Perpisahan daripada keluarga?

Dalam tempoh itu, ketujuh-tujuh pemuda itu mungkin telah bercerai-berai dengan ahli keluarga, dan terputus kasih sayang isteri dan anak-anak jika mereka yang bernikah.

Dalam tempoh itu, ada cicit dan keturunan mereka yang mungkin sudah membesar dan pernah mendengar kisah wali 7 yang lari ke gua, tapi tidak pernah bertemu kelibat mereka itu.

Mungkin sesetengah mereka menganggap kisah itu cuma sekadar serpihan kisah dongengan dan ada pula yang meyakini kewujudan 7 pemuda yang hilang dalam gua itu.

Mereka cuma tidur, ditidurkan dan tidak pernah keluar berdakwah manusia ke jalan Tauhid, sekadar menyimpan keimanan di dalam dada selama 700 tahun.

Tapi, lihatlah bagaimana Allah s.w.t telah memuliakan kisah mereka dalam al-Quran, sedangkan ada watak Zulkarnain, seorang raja yang hebat dalam siri penaklukannya di belahan dunia Timur, Barat, ada pula watak Musa dan Khidhir, dua rasul yang tak kurang hebat peranan mereka dalam dakwah.

Namun, Allah julang nama Ashabul Kahfi sebagai nama surah lalu Rasulullah menyeru umatnya membaca al-Kahfi setiap hari Jumaat atau pada setiap malam Jumaat.

Tidur mereka adalah tidurnya seorang pejuang. Tidur mereka tidur perjuangan. Imam as-Syafie dapat menyelesaikan seribu satu macam persoalan fiqah masyarakat lewat tidurnya. Tidur mereka ini tidur yang berkualiti.

Sesiapa yang membaca Al-Kahfi, tentu menyebut dan mengulang-ulang kisah mereka ini di lidah dan meresaplah api kesedaran di dalam dada terhadap perjuangan mereka bagi menyelamatkan iman itu.

Bukankah Ashabul Kahfi telah menjadi wira yang diangkat kisah mereka itu sebagai pengetahuan umat Nabi Muhammad s.a.w? Kisah mereka telah menjadi iktibar kepada umat terbaik; umat Muhammad!

Ashabul Kahfi yang mendiami gua itu selama 700 tahun jauh lebih lama terperap berbanding penjara Outram, Singapura yang memerangkap jiwa seorang tahanan ISA, Said Zahari selama 17 tahun.

Comments