Caj RM1

Saya pulang ke Kg Baru dengan kupon sebanyak RM11 dari Jalan Duta. Sebelum wujud sistem ini, kebiasaannya, tambang lebih kurang RM7 telah dikenakan dengan meter.

Kali ini, selain dikenakan caj RM11, tiba-tiba pemandu teksi itu meminta lebihan RM1, lalu menjadikan tambang itu naik sebanyak RM12.

"Pemandu teksi ni minta RM1, kalau abang nak pergi ke Kg Baru," kata penjaga kaunter teksi itu. "Maklumlah, masa petang ni, jalan ke sana agak sesak sikit."

Pemandu teksi itu tidak bertanya terus kepada saya. Mungkin didorong rasa segan, malu. Malu itu separuh keimanan. Jadi, masih ada nilai-nilai murni lagi hadhari. Maka saya pun berkompromi juga, dan beri jugalah wang RM1.

(Err.. lagi pun, takkanlah saya nak menapak sehingga ke Kg Baru?)

Dalam perjalanan, pemandu itu melalui jalan di Bukit Tunku tempat di mana terletaknya rumah orang-orang kaya, termasuk rumah isteri pertama Najib sebelum Najib menikahi Rosmah Mansur. Itulah jalan terdekat ke Kg Baru bagi mengelakkan kesesakan.

Pemandu itu berceloteh banyak perkara mengenai LPKP, meter yang perlu dia sewa dan semua celoteh itu mungkin suatu reaksi tindakbalas ke atas sikapnya yang meminta RM1 daripada saya. Banyaklah juga kesusahan hidupnya yang dikongsi bersama.

"Ramai pemandu teksi Jalan Duta tu yang asalnya orang-orang kaya. Mereka jatuh muflis sebab lupa daratan," jelas beliau lagi. "Akhirnya, mereka terpaksa pandu teksi."

Apakah orang-orang kaya itu muncul tiba-tiba dengan sebab DEB setelah rapat dengan Umno tidaklah diketahui. Yang saya tahu, salah seorang daripada mereka itu telah jadi pembekal kepada segala peralatan seperti baju-baju tentera.

"Dia orang kampung saya di Kuala Pilah," kata kenalan baru saya itu. "Rumahnya lima, dan semuanya hilang sekelip mata setelah muflis."

Pemandu teksi tergolong dalam kalangan peniaga. Kita bukan hanya meniaga barangan, malah perkhidmatan. Pemandu teksi meniagakan perkhidmatannya membawa pelanggan ke tempat yang diinginkan oleh para pelanggannya.

Umno dan kaum peniaga termasuklah pemandu teksi, hubungannya cukup rapat bagaikan aur dengan tebing. Apabila pemandu teksi ini terpaksa melakukan suapan demi suapan ke atas LPKP, maka Umno perlu bertanggungjawab kerana menyebabkan pemandu teksi ini susah. Ini yang menyebabkan seorang daripada mereka meminta RM1 dari saya.

Ini cuma sepercik kisah gelap yang tertumpah ke telinga saya petang itu. Ada banyak lagi kalau mahu diceritakan semuanya sehingga melimpah-limpah pula nantinya.

Demi sesungguhnya, Umno serta polis secara tidak langsung telah menyusahkan peniaga dan pemandu teksi yang ingin mencari rezeki pada 1 Ogos lalu. Demikian menurut Raja Nong Chik yang sejak awalnya cuba 'mensasarkan' kerugian berjumlah RM200 juta!

Kalau taksiran kerugian itu menjangkau lebih RM200 juta, mungkin pada beliau, makin maraklah kemarahan rakyat ke atas demonstran dan penganjur perhimpunan 1 Ogos lalu. Namun, percubaan Nong Chik tak berhasil setelah jumlah taksiran kerugian tidak cecah angka yang beliau cuba sasarkan itu.

Mungkin terpaksa dibuat kajian lain agar angka, jumlah kerugian itu hampir sama dengan kenyataannya sebelum ini. Apa yang pasti, Nong Chik dan Najib memang berdendamlah dengan para demonstran dan pihak penganjur perhimpunan itu.

Ekoran dendam yang tak kunjung padam, media telah diminta mengguna kenyataan para peniaga khasnya, pemimpin pertubuhan peniaga yang sememangnya orang Umno untuk mengirimkan kutukan ke atas penganjur perhimpunan 1 Ogos lalu.

Tak apalah. Apa-apa pun, kalau pihak persatuan peniaga ada apa-apa masalah yang gagal diselesaikan, dan pemandu teksi yang ada apa-apa tuntutan yang tidak dipedulikan LPKP, maka tak perlu malu-malu bertemu dengan para demonstran untuk meminta bantuan.

Juga.. kalau ada mana-mana pihak cawangan khas Bukit Aman yang ada masalah dengan Musa Hassan, tidak perlu malu-malu bertemu dengan kami untuk berborak sambil pekena teh tarik di Restoren Haslam yang jadi pusat penggambaran drama Gerak Khas itu.

Demonstran jalanan, walau hatinya terluka gara-gara dipukul belantan FRU dan disembur air gatal, tapi pintu hatinya mungkin terbuka untuk mendengar keresahan polis juga.

Jika Umno ada tiga budaya Umno yang baru diperkenalkan Najib, kami pun ada budaya yang sama juga. Malah, demonstran jalanan ini lebih kental dalam rangka melaksanakan budaya-budaya Umno tadi; mendengar, berkhidmat dan menyelesaikan, insya Allah.

Comments