UMNO Bunuh UMNO?

Pergerakan Pemuda Umno cawangan Bandar Arau mendakwa wujudnya usaha terancang yang berterusan untuk merosakkan institusi parti itu di Perlis oleh sebilangan pemimpin Umno yang kecewa.

Sehubungan itu, ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar menyifatkan kenyataan pengerusi tetap Pemuda Umno bahagian Arau, Ismail Hashim, dalam Malaysiakini semalam sebagai "suatu publisiti murahan dalam usaha menangguk di air yang "dikeruhkan" oleh beliau sendiri.

Beliau juga mendakwa, Ismail melakukannya dengan sokongan seorang dua pemimpin usang dalam Umno bahagian dan negeri di Perlis.

Semalam, Ismail mendakwa kira-kira 500 ahli Umno dalam bahagian Arau akan meninggalkan parti jika bekas ketua penerangan Umno negeri, Datuk Hashim Suboh berbuat demikian.

Ismail yang juga bekas ketua penerangan Pemuda Umno bahagian Arau , berkata, mereka adalah ahli Pemuda dan bekas ahli pergerakan itu dalam DUN Tambun Tulang yang diwakili oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengulas perkara itu, Syed Atif berkata, angka 500 itu tidak munasabah kerana berdasarkan sejarah Umno di kawasan tersebut tidak pernah berupaya mengumpulkan ahli seramai itu bagi menyokong program-program Pemuda sejak lima tahun lalu.

Beliau juga menyifatkan ura-ura penubuhan cawangan PKR dalam DUN Pauh kerana didakwa ada ahli dan pemimpin UMNO cawangan akan melompat parti sebagai "omongan politik terancang" untuk kepentingan pemimpin-pemimpin tertentu yang menurutnya "kemaruk memegang jawatan penting dalam parti dan kerajaan".

'Strategi beri kail'

"Hakikatnya, pendekatan baru ADUN Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail menekankan aspek "lebih baik memberi kail daripada memberi ikan". telah membuka
dimensi baru kepada penduduk Pauh khususnya golongan muda.

"Pendekatan memberi "kail" ini telah membolehkan ikan dipancing berulang-kali sekiranya seseorang individu itu berusaha.

"Sebaliknya tindakan memberi "ikan" telah membawa kepada suatu budaya meminta-minta yang dikutuk oleh agama," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Atif berkata, pendekatan tersebut - supaya masyarakat di Pauh lebih banyak bekerja dari bercakap - menyebabkan golongan yang gemar meminta-minta itu tidak senang duduk.

"Ini kerana mereka bukan hanya semata-mata mengharapkan "ikan" diberi kepada mereka, malah mahukan ikan tersebut digoreng dan disuap ke mulut," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno cawangan bandar Arau mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang boleh disifatkan sebagai musuh dalam selimut untuk mengocak damai dalam parti dan kerajaan.

"Ia sekaligus membantutkan usaha parti dalam memperkasakan kembali Umno dan Barisan Nasional menjelang pilihanraya umum yang akan datang," tambahnya.

Sehubungan itu, Syed Atif berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pemimpin mahupun ahli Umno di Bahagian Arau untuk melompatbagi membersihkan organisasi parti daripada "gunting-gunting dalam lipatan" dan mempermudahkan kepimpinan Umno negeri merencana strategi bagi memulihkan imej parti.

"Pemuda Umno cawangan Bandar Arau berkeyakinan penuh bahawa survival Umno di Perlis bergantung kepada dokongan ahli-ahli yang berkualiti, biarpun dalam jumlah yang sedikit, sebagaimana saranan Soekarno - berikan aku 10 pemuda, akan ku angkat gunung Semeru -," katanya.

Sumber: Malaysiakini

Comments