Suara Keramat Nizar Hantu BN

Tidak sampai lima minit berada dalam Dewan Rakyat, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dihalau keluar kerana melaungkan "bubar Dewan Undangan Negeri".

Nizar pada 15 Jun lalu hadir ke Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Bukit Gantang selepas memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya kecil pada 7 April lepas setelah ia kosong akibat kematian wakil rakyat PAS di situ, Roslan Shaharum.

Beliau yang meminta keizinan berucap tentang krisis politik Perak dari Speker Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebaik sahaja menurunkan tandatangan angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Nizar kemudiannya memakai lilit kepala bertulis 'Bubar Dun' sebelum melangkah ke tempat duduknya. Namun bentara dewan menghalang beliau dari duduk dan speaker memberikan arahan supaya beliau keluar kerana gagal mengikut etika berpakaian dalam dewan.

Nizar terpaksa menanggalkan lilitannya sebelum kembali ke tempat duduk beliau di blok "F".

Bagaimanapun Nizar terus diminta keluar Dewan Rakyat ketika beberapa wakil rakyat pembangkang turut mengenakan lilitan tersebut. Ada wakil rakyat yang mengikat pada kepala dan ada yang memakai pada lengan masing-masing.

Malah Dewan Rakyat juga mengarahkan sekumpulan tetamu yang hadir, dipercayai penyokong Pakatan Rakyat dari Perak yang turut memakai lilitan "Bubar DUN", keluar.

Turut sama diarah keluar bersama Nizar ialah lima lagi ahli Parlimen Dato' Mahfuz Omar (Pokok Sena), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Dr Zulkifly Ahmad (Kuala Selangor), Ngeh Khoo Ham (Beruas), Nga Kor Ming (Taiping) dan N Gobalakrishnan (Padang Serai).

Mahfuz pula berhujah dengan Speaker bahawa beliau hanya mengenakan lilitan di lengan dan harus dibenarkan.

Beliau kemudian meninggalkan Dewan Rakyat.

Mereka bertujuh turut digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.

Mohammad Nizar bersama Nga dan Ngeh - kedua-duanya bekas exco kerajaan Pakatan Perak - antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut dikembalikan kerajaan yang mereka pernah kuasai sejak Mac tahun lalu.

Nizar bertindak demikian sebagai tanda komitmen beliau dalam menuntut supaya Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan.

Sebaik keluar dari dewan, Nizar bersama enam lagi wakil rakyat mengadakan sidang media untuk menjelaskan apa yang berlaku kepada wartawan.

Turut sama dalam sidang media itu, beberapa wakil rakyat pembangkang yang lain yang memberikan sokongan terhadap kempen membubarkan Dun Perak.

Tindakan pengawal keselamatan yang mengarahkan beberapa penyokong Pakatan Rakyat menanggalkan lilitan kepala seterusnya membawa mereka keluar dari parlimen membuatkan sidang media Nizar bersama enam ahli parlimen itu kecoh seketika.

Melihat tindakan pengawal keselamatan yang bertindak seolah-olah penyokong Pakatan Rakyat membuat kekecohan, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad terus menegur mereka.

"Kepada pihak keselamatan jika ada yang ingin membuat apa-apa tindakan sila tunjukkan arahan dari pihak pengurusan. Jangan jadikan parlimen ini seperti rumah kamu," tegur beliau.

Terkejut dengan teguran keras Khalid itu, pengawal keselamatan tersebut terdiam dan terus meninggalkan tempat diadakan sidang media itu.

Bagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob tindakan menghalau ahli parlimen Pakatan Rakyat hanya kerana memakai lilitan kepala yang bertulis 'Bubar Dun' menunjukkan sikap permusuhan BN terhadap pembangkang.

Beliau juga menegaskan apa yang berlaku ini akan membuatkan rakyat akan lebih menyokong Pakatan Rakyat.

"Tindakan menghalau wakil rakyat Pakatan Rakyat ini tanda sikap permusuhan BN terhadap pembangkang. Apa yang berlaku ini akan membuatkan sokongan kepada Pakatan Rakyat lebih," tegas Salahuddin.

Beliau juga menegaskan bukan satu kesalahan besar untuk tujuh wakil rakyat itu memakai lilitan di kepala kerana beberapa tahun sebelum ini pernah juga wakil rakyat pembangkang memakai lilit kepala sebagai bantahan terhadap ISA tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media berkata, Parlimen harus membenarkan wakil rakyat menunjukkan protes mereka termasuk menggunakan lilitan.

"Parlimen patut benarkan, tidak harus diambil tindakan tegas," katanya di lobi Parlimen.

Sehubungan itu jelas beliau, Pakatan akan menulis surat kepada Speaker agar menggugurkan hukuman ke atas kesemua tujuh wakil rakyat berkenaan.

Comments