Siri 2 PKFZ: Bail-out?

Setakat ini nampaknya belum terdengar lagi ura-ura penebusan (bail-out) PKFZ akan dilakukan oleh sebuah GLC yang kaya dengan dana tunai, sebagaimana yang dilakukan oleh Petronas terhadap beberapa syarikat penuh milik kerajaan, seperti Bank Bumiputera (M) Bhd misalnya, sekadar menamakan satu contoh klasik.

Tidak juga kedengaran sebarang cadangan agar penebusan mungkin dilakukan dengan menggunakan dana agensi lain kerajaan yang juga kaya dengan dana tunai seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Mungkin kedua-dua cara penyelamatan dan penebusan ini tidak dapat dilakukan melainkan undang-undang agensi berkenaan dipinda bagi turut membolehkannya menebus kembali sebuah badan berkanun kerajaan. Ini kerana sejauh ini penebusan yang dilakukan terdahulu adalah antara badan berkanun atau syarikat milik kerajaan terhadap syarikat milik kerajaan yang lain dan bukannya antara syarikat milik kerajaan atau badan berkanun kerajaan ke atas badan berkanun kerajaan yang lain.

Namun tidak mustahil kerajaan Umno-BN akan meminda undang-undang bagi membolehkan penebusan serupa itu dilakukan memandangkan rekod parti berkenaan yang meminda atau menggubal undang-undang berdasarkan kepentingan parti dan tidak semestinya bertolak kepada kepentingan awam dan negara. Sukar difahami

Sisihan atau 'deviation' RM10 bilion (RM12 bilion - RM2 bilion) dalam penyediaan bajet projek PKFZ sudah tentulah sukar difahami, malah oleh akauntan terhandal di atas planet Bumi sekalipun. Ia mewakili ralat 600 peratus. Dalam penyediaan bajet sesuatu projek sisihan melebihi 10 peratus sudah dikira amat buruk.

Dari segi anggaran wang tunai projek pula, sekiranya RM2 bilion itu adalah anggaran asal dan angka sebenar ialah RM12 dalam masa 10 tahun (walaupun PKFZ sebenarnya belum lagi berusia 10 tahun dari mula kos awalan dilakukan sehingga kos jangkaan memuncak ke paras RM12 bilion pada tahun 2012 kelak), ia bermakna faktor diskaun mata wang atau dalam bahasa harian susutan nilai ringgit melebihi 500 peratus.

Maknanya pada tahun pertama projek sekiranya RM1 masih dianggap bernilai RM1 maka untuk tujuan anggaran penyata wang tunai projek PKFZ, maka nilai RM1 itu hanya bernilai lima sen sahaja pada tahun 2012.

Memang pelik tapi benar. Itulah gambaran di sebalik kos yang melambung naik daripada RM2 bilion ke RM12 bilion dalam membiayai pembangunan PKFZ.

Comments