Semuanya Sudah Selesai


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibra:him menyifatkan isu kerajaan: perpaduan yang menjadi bahan utama media selepas Muktamar Pas baru-baru ini selesai apabila ketiga-tiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (PR) bersemuka bagi membincangkan perkara itu, kelmarin.

Beliau berkata, perjumpaannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengulangi komitmen parti masing-masing untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dalam PR dalam menjayakan agenda perubahan.

“Kami berpendapat adalah penting untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit.

“Kami percaya perselisihan kecil yang digembar-gemburkan oleh media UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya memetik kenyataan dalam blog beliau, semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, isu rundingan UMNO-Pas yang dimuatkan dalam ucapan dasar Abdul Hadi pada Muktamar Pas minggu lalu harus dilihat dalam konteks pidato Presiden Pas itu.

“Abdul Hadi mengulangi komitmen Pas untuk memastikan perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihan raya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihan raya yang telus,” katanya.

Anwar yakin permuafakatan antara gabungan ketiga-tiga parti itu akan bertambah erat dari hari ke hari selaras dengan tuntutan rakyat yang mahukan sebuah kerajaan bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir negara.

“Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang tepat,” katanya.

Comments