Profesional + Ulama' = PAS

Naib Presiden Pas yang baru, Salahuddin Ayub menyangkal tanggapan umum bahawa wujud perpecahan dalam parti itu selepas timbul perbezaan pandangan pemimpin parti itu berhubung isu kerajaan perpaduan.

“Saya tidak nampak ada apa-apa berlaku dalam Pas di mana ada pihak kononnya cuba untuk tidak bersetuju dengan Presiden. Ucapan dasar adalah ucapan Jawatankuasa Pas Pusat yang diterjemahkan kepada ucapan Presiden, jadi agenda besar kami tetap satu iaitu terus bersama dengan PR,” katanya.

Katanya, ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada perasmian Mukatamar Pas ke-55 Jumaat lalu cukup jelas ke arah memperkukuhkan Pakatan Rakyat (PR).

Akhbar ini semalam melaporkan percanggahan pendapat antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung idea menubuhkan kerajaan perpaduan.

Abdul Hadi sebelum ini melahirkan keyakinan bahawa konsep kerajaan perpaduan merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk kebaikan negara.

Idea tersebut bagaimanapuyn turut tidak dipersetujui komponen PR yang lain iaitu DAP dan PKR kerana tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

Salahuddin turut menyifatkan saranan Dewan Pemuda supaya parti itu memimpin PR sebagai idea memaksimumkan strategi politik PR dan bukannya bertujuan memperkecilkan keupayaan komponen yang lain.

“Pas mesti terus memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi iaitu rakan kongsi bijak dalam PR,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan keputusan bijak perwakilan membentuk barisan pimpinan baru yang terdiri daripada golongan ulama, profesional dan aktivis akan mengukuhkan lagi perjuangan Pas selepas ini.

Sementara itu, salahuddin berkata, beliau akan melaksanakan tugasnya sebagai Naib Presiden dengan penuh tanggungjawab sebagaimana beliau memimpin Dewan Pemuda sejak 6 tahun lalu.

Menurutnya, ia adalah amanah yang sangat besar dan misinya selepas ini untuk meneruskan agenda penyatuan Pas dengan semua pihak terutamanya dengan dunia luar.

“Saya percaya dengan kuasa penyatuan, Insya Allah saya akan cuba menjadikan diri saya sebagai seorang Duta parti untuk membina lebih banyak lagi jambatan-jambatan baru di antara Pas dan dunia luar.

“Ini termasuklah hubungan lebih baik dengan kementerian dan jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta penyatuan di peringkat antarabangsa,” ka:tanya.

Sumber: Sinar Harian

Comments