PKR & 1000 Tandatangan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Bagan Serai mengumpul 1,000 tanda tangan bagi memohon Sultan Perak memerkenankan permohonan seluruh rakyat Perak untuk membubarkan DUN bagi mengadakan semula pilihan raya.

Ketua Bahagian PKR Bagan Serai, Md Nasib Rahim berkata, tindakan pihaknya mengumpul lebih 1,000 tanda tangan dari masyarakat sekitar bertujuan memohon sultan membubarkan DUN untuk diadakan semula pilihan raya.

Menurutnya, rakyat mahu pilihan raya diadakan dan tandatangan ini sebagai tanda sokongan mereka bagi menyokong pembubaran DUN.

“Kita mahu DUN dibubarkan dan tidak kisah jika kalah kerana apa yang penting pilihan raya amat wajar diadakan,” katanya

Beliau berkata, objektif tandatangan ini dipohon hanya untuk menunjukkan bahawa politik di Perak ini perlukan penyelesaian dengan hanya pembubaran DUN.

Jika tidak rakyat akan terus merasa mereka dianiaya dan suara mereka sudah tidak bermakna lagi.

Md Nasib berkata, walaupun PKR kalah sekalipun kita tetap berpuas hati kerana keputusan pilihan raya itu dibuat atas pilihan rakyat dan bukannya pilihan mahkamah yang semestinya memihak kepada sebelah pihak sahaja.

“Rakyat merasakan sudah sampai waktunya keputusan memilih pemimpin diberi kepada rakyat walaupun ada setengah pihak mendakwa pilihan raya suatu yang merugikan,” katanya.

“Umum mengetahui kerajaan BN kini seperti telur di hujung tanduk disebabkan itulah mereka tidak mahu DUN dibubarkan kerana khuatir pekong mereka dibuka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan BN yang memerintah Perak sekarang hanyalah sah di peringkat mahkamah Rayuan dan akan ke peringkat persekutuan.

“Kita meminta Datuk Zambry Abdul Kadir mengumpul 30 tandatangan kesemua ahli Parlimen untuk menyokong kepimpinan beliau.

“Jika tidak ada lebih baik DUN dibubar sahaja supaya rakyat diberi peluang menentukan siapa yang lebih layak memerintah Perak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Bahagian PKR Bagan Serai, Rashimah Mohd Rashid berkata, program ini dianjurkan Wanita Pakatan Rakyat iaitu program satu gelita untuk bubarkan DUN di Perak.

Menurutnya, wanita PKR amat mengalu-alukan pembubaran DUN ini bagi memberikan hak memilih semula kepada rakyat Perak.

“Persoalan siapa kalah atau menang tidak timbul sebaliknya biarlah rakyat membuat pilihan.

“Amat berharap permohonan mereka yang akan menghantar refredum ke Istana Perak tidak lama lagi kepada tuanku seterusnya membubarkan DUN demi keadilan untuk rakyat,” katanya.

Md Nasib berkata, tidak kira siapa yang menang dan seandainya mana-mana parti itu dipilih rakyat maka mereka layak untuk mentadbir serta mengembalikan keamanan kepada rakyat Perak.

Dia berkata demikian pada majlis bertemu orang ramai di Pekan Sehari Bagan Serai bagi mengumpul sebanyak mungkin tanda tangan untuk menyokong pembubaran DUN Perak seterusnya mengadakan semula pilihan raya kecil di sini.

Sumber: Sinar Harian

Comments