Pemimpin Biadap dan Kurang Ajar

Kenyataan itu jelas, walaupun agak kasar, itulah yang terpaksa kita terima iaitu pemimpin kita biadap dan kurang ajar ketika mewujudkan PPSMI, dan sikap celupar ke atas mereka memang kena pada tempatnya.

Bahasa itu jiwa sesebuah bangsa, bahasa itu mencerminkan maruah sesebuah bangsa dan mereka yang menginjak-injak maruah bangsa adalah pengkhianat kepada bangsa ini.

Malangnya, ketika mengulas hal tersebut, cuma sedikit ucapan saya dipetik, iaitu teguran ke atas sikap editor yang takut menyiarkan karya cerpen satira.

Laporan itu tersiar dalam ruangan sastera Berita Harian pada 4 Jun lalu.

Bagaimanapun, ulasan Razali Endun dalam Siasah yang terbaru, berjudul "Penulis Muda Tidak Kritis" itu yang lebih lengkap.

Ini kerana, beliau mengulas dengan tepat, iaitu kenapa editor sastera aliran perdana menjadi takut menyiarkan karya satira. Dalam penjelasan ketika membentangkan kertas kerja itu, menjelaskan bahawa editor juga diancam majikan dan Umno.

Akibatnya, wujudlah rangkaian ketakutan sehingga menyebabkan penulis pun mengambil sikap berhati-hati menulis supaya karya mereka mendapat tempat di akhbar.

Sikap editor sastera aliran perdana yang menjadi takut-takut bukan tiada asasnya. Dalam kertas kerja tersebut dibentangkan dua kes yang menyebabkan editor sastera telah pun dikenakan tindakan serta-merta dengan sebab penyiaran karya satira.

Disalin kembali beberapa perenggan yang djmaksudkan itu seperti di bawah.

Cerpen Piem karangan Dato Shahnon Ahmad yang disiarkan di Dewan Sastera, 1993 suatu masa dahulu misalnya, adalah contoh yang membuktikan bahawa di mana seorang editor sastera pun sentiasa terdedah dengan ancaman politik.

Biarpun karya itu cuma dipersembahkan dalam bentuk santai, dihidang, disajikan tanpa menyentuh nama mana-mana pihak, namun ruang untuk editor sastera itu dikenakan hukuman sentiasa wujud.

Selain Piem, cerpen satira Maharaja Beruk oleh Yahya Ismail yang tersiar dalam Dewan Sastera pada 1988 boleh dianggap sebagai contoh yang mencetuskan kerisauan ke atas editor sastera aliran perdana untuk menyiarkan karya satira.

Penyiaran Maharaja Beruk itu menyebabkan Dewan Sastera melonjak jualannya. Namun, gara-gara penyiaran Piem itu pula, menyebabkan editor Dewan Sastera ketika itu, Abdul Ahmad telah ditukar ke bahagian lain.

Maka, berdasarkan kedua-dua kes besar ini, maka ia memberikan jalan keluar sebagai yang turut diulas oleh Razali Endun dalam Siasah (7 - 13 Jun), iaitu rantai ketakutan yang membelenggu editor sastera ini diputuskan.

Malah ia menyebutkan keperluan antara pengarang muda dan editor sastera yang mesti ada sikap sokong-menyokong, dokong-mendokong, bahu-membahu sesama mereka.

Sampai ke tahap, kumpulan pengarang muda dan badan-badan penulis ini akan bertindak mengemukakan nota bantahan, memorandum atau demonstrasi jika pintu rundingan telah ditutup bagi menyelesaikan masalah tindakan ke atas editor sastera itu tadi.

Sebenarnya, kalau tidak salah , ada kritikan yang sama ke atas editor oleh A. Samad Said. Oleh sebab terlupa di mana petikannya maka hal itu tak masukkan di dalam kertas kerja tersebut.

Jadi, itulah sedikit sebanyak pandangan yang kemukakan dalam sesi pembentangan kertas kerja tersebut.

Di samping itu, rakan panelis, Ummu Hani Abu Hassan telah menimbulkan pandangan, bahawa jika pengarang muda bijaksana mengadun watak, menggunakan jalan cerita guna menyindir pihak-pihak tertentu, nescaya karya-karya mereka diterima oleh editor.

Comments