Pembangunan Untuk UMNO Sahaja?

Umno kini kontang isu hendak diketengahkan di Dun Manek Urai memandangkan penduduk tempatan di situ mulai muak dengan agenda pembangunan yang sering diulang tayang.

Rakyat di Dun terbabit tahu sepanjang empat tahun diterajui BN pada penggal lalu pembangunan yang dicanang tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya baru penggal menang, bekas Adun Manek Urai, Zulkifli Omar sudah mampu membina banglow besar yang lengkap dengan dewan dan pejabat di tapak seluas kira-kira dua ekar di cabang tiga Sungai Sok (gambar).

Begitu juga bekas Adun Dabong, Datuk Ramzi Abdul Rahman membina mahligai di pucak bukit di Jelawang, biar pun sepenggal menjadi wakil rakyat.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, itu belum lagi diambil kira dengan banyak projek terbengkalai yang telah dirasmikan menteri sebelum ini.

“Pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua sehingga kini mungkin hanya berjalan 10 peratus, sedangkan bekas Perdana Menteri telah melakukan upacara pecah tanah lebih dua tahun lalu.

“Begitu juga dengan projek jalan raya Kuala Krai – Kota Bharu yang diuar-uarkan menjelang pilihan raya umum lalu gagal menjadi kenyataan sehingga kini,” katanya di sini.

Beliau berkata, sekarang pemimpin Umno datang untuk berbudi pula dengan penduduk di Manek Urai dengan menabur lagi janji-janji pembangunan.

Kata beliau sekiranya Umno bersungguh-sungguh mahu melaksanakan projek pembangunan di Manek Urai, agenda itu sudah lama dilakukan memandangkan kedudukan Dun tersebut di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Namun katanya, apa yang dilakukan Kesedar sekadar melepas batuk di tangga.

Oleh itu beliau yang juga anggota parlimen Rantau Panjang menasihatkan penduduk Manek Urai menganggap segala janji pemimpin Umno sebagai ‘gula gula politik’ menjelang pilihan raya.

“Pengundi di Manek Urai tentunya tidak lupa pesanan Tok Guru iaitu ‘beri gula kacau, beri kain pakai, bila mengundi pangkah bulan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya berhati-hati dengan taktik kotor Umno yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai kemenangan.

Sumber: Siasasahdaily

Comments