Pakatan Rakyat dan Perhimpunan Seluruh Negeri

Pakatan Rakyat (PR) Kawasan Pengkalan Hulu, kelmarin, membuat perhimpunan beramai-ramai bagi memohon supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan segera dan memberi laluan kepada rakyat Perak untuk menentukan sendiri kerajaan yang diingini.

Naib Ketua PKR Bahagian Pengkalan Hulu, Lee Sing Long berkata, perhimpunan itu sebagai seruan untuk pembubaran DUN dan ia dilancarkan serentak di seluruh Perak, kelmarin.

Menurutnya, PR telah menerima arahan daripada pihak atasan parti untuk berkumpul dan bersama-sama menyuarakan pembubaran DUN Perak di semua 59 DUN.

“Semua parti yang berada di bawah naungan PR telah menerima arahan untuk berkumpul dan meminta agar DUN Perak dibubarkan dan bagi ahli-ahli PR yang beragama Islam pula telah diminta untuk bersama-sama melakukan puasa sunat selama satu hari.

“Oleh itu, kesemua parti PR di kawasan Pengkalan Hulu termasuk Klian Intan, Felda Nenering, Kuak Luar dan Kuak Hulu telah menyahut seruan itu dan kami tetap bertegas meminta DUN Perak dibubarkan,” katanya.

Sing Long berkata, perhimpunan itu diadakan untuk memaklumkan kepada seluruh rakyat Perak terutama kepada UMNO bahawa PR tidak akan setuju dan tidak menginginkan kerajaan yang sekadar mendapat kuasa melalui keputusan Mahkamah Rayuan.

Menurutnya, PR mahu rakyat sendiri yang memilih kerajaan yang mereka kehendaki dan rakyat sepatutnya diberi mandat sepenuhnya untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya.

“Jika dilihat keadaan kerusi DUN Perak sekarang ini, PR memiliki bilangan kerusi yang sama dengan BN iaitu 28 kerusi manakala tiga kerusi lagi dipegang calon Bebas.

“Tidak pernah juga berlaku undi tidak percaya di dalam sidang DUN dan tiga calon Bebas juga tidak pernah menyokong BN di dalam dewan melainkan menunjukkan sokongan mereka hanya ketika mereka berada di luar dewan,” katanya.

Beliau berkata, dengan keadaan bilangan kerusi antara PR dan BN yang sama itu, maka adalah sebaik-baiknya dibubarkan DUN dan diadakan pilihan raya DUN bagi menentukan parti manakah yang sebenar-benarnya layak mentadbir negeri.

“Jika benar rakyat menyokong BN, maka mereka tidak seharusnya takut untuk bersetuju dengan pembubaran DUN bagi memulihkan keadaan politik Perak yang bergolak sekarang ini.

“Mereka (BN) tidak perlu takut untuk memberikan hak penuh kepada rakyat untuk memilih kerajaan melalui pilihan raya dan jika benar BN mendapat majoriti undi daripada rakyat untuk mentadbir, maka PR juga akan akur dan sedia mengalah kerana itu pilihan rakyat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Comments