Muktamar PAS Ditaja Kroni UMNO?

Selepas tamatnya muktamar agung PAS hujung minggu lalu, kini timbul persoalan di kalangan pemimpin dan penyokong parti itu tentang pihak yang menaja persidangan itu.

Satu sumber memberitahu, 12 pemimpin tertinggi parti itu ditaja penginapan mereka oleh individu yang tidak dikenali, diragui mempunyai kaitan dengan Umno.

Manakala satu sumber yang lain memberitahu Malaysiakini, hanya sembilan bilik pemimpin atasan parti ditaja oleh pihak luar.

Sumber-sumber berkata, pembayaran untuk sewaan bilik di sebuah hotel lima bintang di Shah Alam bagi tempoh tiga hari sejak hari pertama muktamar 5 Jun lalu dibuat atas nama seorang bekas peguam dari Perlis.

Selain dakwaan pembabitan orang Umno dalam penginapan hotel, Ahad lalu, seorang perwakilan mempersoalkan tindakan PAS menerima tajaan sebuah syarikat besar untuk menjayakan muktamar tersebut.

Khalid Samad, juga yang dipertua PAS Shah Alam, melontarkan tuduhannya ketika membahaskan usul menggesa penubuhan suruhanjaya diraja siasatan kes rampasan kuasa BN di Perak awal tahun ini.

Beliau, juga ahli parlimen Shah Alam, mempertikaikan syarikat konsesi air Puncak Niaga – yang bertegang urat dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dalam isu air – yang meletakkan iklannya di bahan muktamar.

"Apalah sepanduk Puncak Niaga berbanding mashaf al-Quran di hujung lembing? Apalah iklan Puncak Niaga di hadapan majalah yang diedarkan berbanding degan mashaf al-Quran di hujung lembing?" katanya.

"Kita kenal lawan kita. Mereka sanggup membelanjai (membiayai) segala perbelanjaan kita (bermuktamar) pada hari ini dan hari-hari sebelum ini, membayar hotel-hotel kita kalau perlu."

Beliau menyindir usaha pengendalian muktamar oleh PAS Selangor dengan mengambil iktibar sejarah perang Siffin antara puak Muawiyah Abu Sufian dengan angkatan Ali Abu Talib dalam perebutan kuasa khalifah.

Muawiyah, seorang ahli politik yang licik, mencadangkan majlis tahkim atau perundingan di tengah-tengah perang di luar Madinah dengan mengangkat kitab suci di hujung lembing sebagai lambang gencatan senjata yang akhirnya memecah-belahkan kumpulan tentera Ali.

Pada hari terakhir muktamar PAS Ahad lalu, satu risalah berukuran tabloid yang melaporkan perjalanan sepanjang persidangan tiga hari parti itu diedarkan kepada lebih kurang 1,000 perwakilan dari seluruh negara dan petugas media.

Dalam bahan edaran itu, disiarkan iklan besar Puncak Niaga di bahagian bawah muka depannya.

Sementara di luar tempat persidangan sekitar Stadium Malawati di Shah Alam, tempat muktamar itu berlangsung, syarikat konsesi itu turut menggantungkan kain rentangnya.

Puncak Niaga juga membuka pondok pameran mereka di kawasan gerai-gerai jualan bersempena muktamar itu.

Sumber-sumber bagaimanapun tidak jelas berhubung nilai tajaan yang diterima PAS bagi menganjurkan muktamar itu, termasuk bayaran iklan Puncak Niaga.

Usaha Malaysiakini mendapatkan penjelasan tuan rumah muktamar, PAS Selangor tidak berhasil setakat ini.

Difahamkan pesuruhjaya negeri itu Datuk Dr Hassan Ali sedang menghadiri sebuah program sewaktu dihubungi sebentar tadi.

Ketua Penerangan PAS Selangor yang juga setiausaha presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir enggan mengulas isu ini sewaktu dihubungi petang ini.

Sumber: Malaysiakini

Comments