Mencabul Untuk Berkuasa

PAS menjadi parti yang selamat daripada banjir politik wang yang dicipta oleh Umno untuk mengekalkan kuasa yang berhadapan dengan gelombang penolakan rakyat.

Demikian penegasan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar Muktamar Agung Tahunan PAS kali ke-55, di Stadium Melawati, Shah Alam.

Beliau berkata, walaupun Umno/BN tahu rakyat menolak kepimpinan mereka tetapi Umno tetap mahu meneruskan kuasa selama-lamanya walaupun banyak melakukan pelanggaran yang merosakkan negara dan rakyat.

Katanya, Umno/BN sanggup mencabul Perlembagaan negara serta mengancam perpaduan seterusnya mewujudkan politik yang tidak stabil.

"Sekarang ini penyakit itu memakan diri Umno sendiri dan rakan- rakannya dalam BN dan kini mereka sedang menjadi barah dalam dirinya tanpa segan dan malu," tegas beliau di hadapan lebih 10,000 orang perwakilan, pemerhati, tetamu serta wakil-wakil media.

Beliau menegaskan bagi PAS hanya Islam yang menjadi rahsia ketahanan ahli dan pimpinan dengan pengisian tarbiyah dan bai'ah kepada setiap pemimpin dan calon pilihan raya yang dipilih.

"Kita diajar dosa pahala manakala dalam amalan politik kita diajar bahawa dosa pahala bukannya terhad dalam amalan ibadat serta makan minum saja," tegasnya.

Sekarang tambah beliau, PAS menjadi parti yang kukuh dan istiqamah sehingga dapat bertahan selama lima penggal di Kelantan walaupun dalam penggal lalu hanya mempunyai kelebihan satu kerusi.

Walaupun diusahakan oleh pihak tertentu untuk merampas kerajaan Kelantan ketika itu dengan tekanan dan habuan politik wang namum katanya tindakan Umno tidak berjaya.

"Hari ini kita berjaya lagi walaupun pemerintahan bersama kita di Perak dirampas tetapi wakil rakyat kita tidak tenggelam dengan politik wang dan ugutan," katanya dengan nada tegas.

Selain itu beliau turut bangga dengan prestasi ahli Parlimen PAS yang dapat menyuarakan pandangan parti dengan penuh keberanian dan hikmah serta memberikan gagasan-gagasan baru dalam Parlimen sehingga disegani kawan dan lawan.

Dato' Presiden berharap ahli Parlimen dapat melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin dengan landasan Islam supaya mesej yang PAS bawa dapat diikuti dan difahami oleh rakyat yang sangat dahagakan perubahan.

PAS menyertai pilihan raya sejak kali pertama diadakan di zaman penjajah walaupun dengan kejayaan satu kerusi dengan serba kekurangan tetapi PAS terus menyertainya.

Pemerintahan PAS pada ketika tambah beliau juga berhadapan dengan pelbagai diskriminasi daripada kerajaan Pusat selain diserang dengan pelbagai cara termasuk rasuah membeli wakil-wakil rakyat.

Menurut beliau, PAS tumbang di Terengganu dan dapat bertahan di Kelantan sehingga tahun 1978 di mana akhirnya PAS dijatuhkan dengan perisytiharan darurat secara lakonan apabila Umno gagal memperolehi wakil rakyat yang cukup untuk dibeli.

Sumber: Harakahdaily

Comments