Melayu Bukan di Malaysia

Melayu bukan hanya terdapat di Malaysia. Ia terdapat di Thailand, Brunei, Singapura, Kemboja, Sri Lanka, Afrika Selatan dan Indonesia. Di sini takrifnya ialah bangsa Melayu dan bukannya rumpun Melayu. Kalau rumpun Melayu maka ia lebih luas meliputi keseluruhan Indonesia, Filipina, malah Madagascar. Tetapi di sini apa yang hendak ditakrifkan ialah orang Melayu yang berbahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam.

Oleh kerana orang Melayu di Afrika Selatan, Sri Lanka dan Kemboja sudah tidak berbahasa Melayu, maka mereka boleh dianggap sudah tidak Melayu lagi. Sementara orang Melayu yang tidak beragama Islam sebahagiannya di Indonesia dan Singapura, maka mereka juga bukan orang Melayu.

Apakah yang dikatakan sebagai adat istiadat Melayu? Ia termasuklah upacara perkahwinan dan amalan lain budaya orang Melayu seperti menyambut Hari Raya. Maka orang Melayu yang ada seperti takrifan itu ialah di Malaysia, Singapura, Thailand , Brunei dan Indonesia.

Namun begitu jati diri Melayu sebagai bangsa yang mempunyai negara sendiri hanya ada di Malaysia dan Brunei. Ini kerana Melayu di kedua-dua negara ini mempunyai raja-raja sendiri dan mereka pada asal dan asasnya menjadi rakyat kepada raja masing-masing. Ini kerana pada suatu masa orang Melayu ini mempunyai negeri masing-masing lengkap dengan sistem pemerintahan yang diketuai oleh raja masing-masing. Negara mereka inilah yang dipanggil negeri-negeri Melayu.

Negeri Melayu di Thailand sudah tidak ada. Pattani, Narathiwat, Songkhla dan Yala sudah menjadi wilayah di dalam Thailand, dan orang Melayu di sana adalah warganegara Thailand yang taat setianya adalah kepada raja Thai, dan mereka setaraf denmgan lain-lain warganegara Thai.

Memang terdapat negeri-negeri Melayu di Indonesia dahulu, khususnya di Sumatera. Tetapi mereka telah ditakluki oleh Belanda dan apabila Indonesia diisytiharkan pada 17 Ogos 1945, negeri-negeri Melayu di situ dengan raja-rajanya sudah dimansuhkan. Negeri mereka hanyalah merupakan wilayah di dalam Indonesia. Mereka adalah warganegara Indonesia setaraf dengan lain-lain warganegara.

Sementara Singapura pula asalnya sememangnya sebahagian daripada Kesultanan Johor-Riau. Tetapi ia telah dijual oleh sultan ketika itu kepada Britain. Maka ia menjadi tanah jajahan Britain sebagai sebahagian daripada negeri-negeri Selat. Maka apabila Singapura mencapai kemerdekaan, orang Melayu menjadi warganegara republik di situ setaraf dengan lain-lain warganegara.

Cumanya pada masa itu Singapura sedang bersedia untuk menyertai gagasan Malaysia, maka kedudukan orang Melayu di situ adalah serupa dengan bumiputera di Malaysia. Iaitu mereka juga mempunyai hak istimewa dalam erti kata perhatian diberikan kepada mereka sebagai pribumi yang tidak wajar dibiarkan ketingggalan dalam arus pembangunan.

Maka apabila Singapura menyertai Malaysia pada 16 September 1963, kedudukan orang Melayu di situ adalah seperti orang Melayu lain dalam Malaysia. Bahawa mereka menjadi bangsa yang mempunyai hak istimewa di bawah naungan raja-raja Melayu diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong. Seperti orang Melayu dan bumiputera lain di Malaysia, orang Melayu Singapura dinaungi kembali di bawah Raja-raja Melayu.

Sememangnya semua warganegara tanpa mengira bangsa adalah rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong di negeri-negeri yang tidak ada sultan. Tetapi peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai wakil raja-raja Melayu adalah mempertahankan perlembagaan persekutuan di mana di dalamnya termaktub pernyataan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, agama Islam adalah agama rasmi, kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja negara serta adanya hak keistimewaan orang Melayu sebagai bangsa yang merupakan rakyat asal kepada raja-raja Melayu dan perhatian wajar diberikan supaya mereka tidak ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

Inilah realiti masyarakat Melayu di Malaysia. Apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia dan menjadi republik, maka kedudukan orang Melayu di sana adalah setaraf dan tidak berbeza daripada warganegara kaum lain. Tidak ada istimewanya. Namun begitu kerajaan Parti Tindakan rakyat (PAP) tetap memberi perhatian khusus kepada orang Melayu supaya mereka tidak ketinggalan dan program berdikari dilakukan supaya mereka dibantu tanpa menjadikan mereka itu istimewa.

Sementara Brunei apabila merdeka, muncul sebagai sebuah negeri Melayu dengan rajanya dan kedudukan orang Melayu adalah istimewa berbanding dengan kaum bukan Melayu di negara itu. Singapura dan Brunei merupakan contoh perbandingan kepada Malaysia yang berada di tengah-tengah, iaitu antara Singapura dan Brunei dalam rujukannya kepada bangsa Melayu.

Maka kini di dunia, hanya ada dua negara Melayu iaitu Malaysia dan Brunei. Walaupun Malaysia sebuah negara demokratik, liberal dan pelbagai kaum tetapi dari segi perlembagaan yang muncul daripada sejarah menunjukkan ia adalah negara Melayu. Maka gagasan inilah yang diperjuangkan Umno. Sementara PAS yang pernah merupakan biro agama Umno juga berdiri atas landasan ini.

Biro Agama Umno ini kemudian menjadi Persatuan Islam Se-Tanah Melayu. Mereka memperjuangkan bahawa kepentingan orang Melayu mesti dipertahankan khususnya mengenai identiti Islamnya. Apabila Umno bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam Perikatan yang tentunya akan berlaku kompromi, maka PAS muncul sebagai sebuah parti Islam yang keras untuk memastikan orang Melayu tidak ketinggalan berbanding dengan kaum lain.

Bagaimanapun pada tahun 1982, perubahan besar berlaku dalam PAS. Ada dua ciri baru PAS muncul selepas kejatuhan Tan Sri Asri Muda. Pertama, gagasan kepimpinan ulama yang menghasilkan Majlis Syura dipandu oleh Mursyidul Am. Ciri Islam ini jelas apabila PAS membawa gagasan menolak asabiyah, yang ditakrifkan sebagai perkauman, kebangsaan dan nasionalisme.

Bagi PAS, negara Islam yang diperjuangkan tidak mengenal kaum. Ia juga tidak membezakan antara penganut agama. Perjuangan PAS adalah inklusif membela semua kaum dan anutan agama. Tetapi Islam pula dianggap sebagai ideologi parti di mana agama ini tentunya terunggul unggul, malah hegemonik. Bukan untuk menjadikan Islam sebagai menindas, tetapi sebaliknya membela dan memberikan keadilan serta kebajikan kepada rakyat.

Maka mengapakah terdapat usul daripada muktamar PAS yang menghendaki 30 peratus ekonomi hendaklah bumiputera? Sementara kalau dilihat polisi perumahan kerajaan PAS Kedah yang memperuntukkan kuota bagi penjualan rumah untuk bumiputera, tidakkah itu perkauman atau asabiyah?

Tetapi realitinya ialah jika polisi-polisi itu tidak ada. Apa akan jadi? Tanpa ragu-ragu lagi, orang Islam akan terus ketinggalan dan orang Islam juga tidak mampu untuk memiliki hartanah. Mengapa jadi demikian? Hakikatnya orang Melayu tidak berkemampuan untuk berniaga. Mereka akan ketinggalan. Ini adalah realiti Melayu di Malaysia. Islam adalah agama fitrah dan agama realiti. PAS adalah parti Islam. Di sinilah cabarannya apabila berdepan dengan orang bukan Islam dalam Pakatan Rakyat.

Comments