Kemenangan Zambry Dirancang Oleh Hakim

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggesa Suruhanjaya Bebas dan badan siasatan yang berwibawa diwujudkan secepat mungkin bagi mengkaji perkara yang tidak diadili dengan telus dan adil.

Beliau berkata, terdapat dakwaan mengatakan satu arahan dikeluarkan kepada Hakim Negara supaya mengarahkan kemenangan berpihak kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Menurutnya, dakwaan yang dibuat oleh blogger yang terkenal itu perlu disiasat kebenarannya.

“Apa yang merunsingkan saya terdapat satu artikel dalam laman blog dikeluarkan mengenai keputusan kemenangan supaya berpihak kepada Zambry.

“Keputusan dikatakan dibuat pihak atasan yang boleh menentukan kepada Ketua Hakim dan Ketua Hakim Negara boleh mengarahkan mana-mana Presiden kepada Mahkamah Rayuan untuk memberikan keputusan supaya ianya menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, jika dakwaan itu benar, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi, perlu meletakkan jawatan secepat mungkin bagi menjaga nama baik institusi penghakiman negara.

“Saya minta Tun Zaki beri penjelasan isu ini kerana apa yang didakwa ini meragukan saya. Banyak kontroversi membabitkan penghakiman Tun Zaki dan saya minta beliau meletakkan jawatan.

“Saya mohon agar kerajaan bersetuju tubuhkan jawatankuasa hakim, jawatankuasa eksekutif dan jawatankuasa perundangan bagi menentukan dan senaraikan apa-apa perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan,” katanya.

Menurutnya, hakim seharusnya tidak mencampuri hal-hal politik negara tetapi sebaliknya ianya sudah berlaku dan siasatan perlu dilakukan segera.

Nizar berkata, keputusan yang dibuat mahkamah akan memberikan kesan kepada jangka panjang dan ianya akan menjadi seperti ‘padang bola’ jika ada keputusan dibuat dan ditentukan pihak atasan.

Menurutnya, apa yang disumpahnya sebelum ini untuk pertahankan Perlembagaan Negara, tetapi dalam masa sama sumpah itu dilanggar sendiri Barisan Nasional (BN).

“Saya cabar Zambry jika dia tidak gila kuasa serahkan balik kuasa pada rakyat. Biar rakyat pilih kerajaan baru dan demi rakyat, kami akan teruskan perjuangan agar dibubarkan DUN,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Comments