Istana Tengku Mahkota Kelantan Terbakar

Istana Tengku Mahkota di Jalan Telipot dekat sini dilaporkan mengalami kebakaran kecil kira-kira jam 9.42 malam kelmarin.

Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian mendapati terdapat dua jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian serta beberapa kenderaan polis berada dalam perkarangan istana berkenaan.

Beberapa anggota bomba dilihat bertungkus lumus memadam kebakaran yang dipercayai melibatkan satu unit bangunan yang berhadapan dengan pintu pagar istana.

Sinar Harian difahamkan kejadian itu disedari oleh kakitangan istana selepas mendapati kepulan asap keluar menerusi bangunan berkenaan.

Ketika kejadian, semua kakitangan istana dilihat berada di perkarangan istana terbabit dan sepasukan pegawai serta anggota polis turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Kebakaran dipercayai memusnahkan dua buah kabinet dan sebuah akuarium dalam bangunan berkenaan.

Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kelantan turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Anggota polis diarahkan mengawal perkarangan istana dan orang awam serta wartawan tidak dibenarkan masuk untuk membuat sebarang liputan.

Hadir sama semasa kejadian ialah Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner I, Datuk Abdul Rahim Hanafi, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II, Datuk Amir Hamzah Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias, Pengarah Bomba Negeri, Mohd Azmi Osman, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah dan beberapa pegawai atasan polis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Mohd Azmi Osman ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes tersebut masih lagi dalam siasatan dan pihaknya masih belum menerima laporan penuh berhubung kejadian.

Sumber: Sinar Harian

Comments