Ditangkap di Parlimen?

TIGA tiang utama dalam pembentukan peraturan hidup rakyat Malaysia menyebabkan negara kita dihormati apabila legislatif, eksekutif dan judiciary tertegak dengan peranan mereka masing-masing dan mempunyai kuasa tersendiri.

Pembuat undang-undang di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, manakala eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri dan badan kehakiman yang tertegak megah dengan autoriti dan autonominya tersendiri.

Kini kewibawaan tiga tonggak yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia itu mula menuju kehancuran di bawah kerajaan Barisan Nasional. Tempat membuat undang-undang tidak dihormati lagi. Pihak eksekutif dengan sewenang-wenangnya menceroboh tempat legislatif tanpa mengikut peraturan-peraturan yang selama ini dihormati dan diterima pakai dengan baik.

Ditangkap di Parlimen

Dato' Mustafa Ali diserbu dan ditangkap di dalam kawasan Parlimen kira-kira setahun setengah yang lalu. Sedangkan untuk menangkap beliau, boleh sahaja dilakukan di luar kawasan Parlimen, seperti di pejabatnya di Jalan Pahang Barat atau di rumahnya di Kuala Terengganu.

Tetapi kenapa pihak polis sengaja masuk dan menangkap Mustafa di dalam kawasan Parlimen? Bukanlah terlalu "urgent" untuk menangkap beliau sehingga tempat untuk membuat undang-undang pun tidak dihormati.

Kawasan Parlimen terus dicemar lagi apabila sekumpulan Pemuda Umno cuba mengancam Ahli Parlimen Karpal Sigh juga di lokasi sama. Saya boleh faham perasaan Pemuda Umno terhadap Karpal Sigh, tetapi memilih kawasan Parlimen untuk bertindak terhadap beliau amatlah tidak kena.

Karpal boleh "dikepung" di mana saja di luar kawasan Parlimen untuk melepaskan geram Pemuda Umno terhadapnya.

Kalaulah Pemuda PAS atau Angkatan Muda KeADILan melakukan tindakan yang serupa, "mengepung" mana-mana ahli Parlimen BN di dalam kawasan Parlimen, saya akan bangun menentang dan menyatakan rasa tidak bersetuju. Tempat lagislatif itu perlu dihormati, dan jangan dijadikan kawasan Parlimen seperti pasar malam.

Comments