Al-Quran Palsu 180 Tan Dirampas

Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 180 tan pelbagai jenis barangan terdiri daripada teks dan bahan al-Quran palsu yang menyalahi Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 (APTQ 1986).

Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Perlesenan al-Quran, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, rampasan terbabit dilakukan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan ejaan dan tanda baca.

“Sebanyak 8,375 unit pelbagai barangan seperti kitab agama, terjemahan, perhiasan dinding seperti jam dan bingkai mengandungi ayat al-Quran palsu berjaya dirampas dalam serbuan terakhir pada Jun sehingga Mei lalu membabitkan nilai rampasan berjumlah RM103, 945.80.

“Daripada 95 tan barangan yang dilupuskan terdapat pelbagai jenis al-Quran yang sudah lama dan telah rosak yang diperoleh daripada masjid-masjid di seluruh negara,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sementara itu, sebanyak sembilan permohonan kelulusan teks al-Quran membabitkan empat syarikat ditolak kerana menyalahi APTQ 1986.

Permohonan yang ditolak adalah Tafsir al-Quran di Radio (Mashaf dan Terjemahan ) Juzuk 1,2 dan 3 oleh Pustaka Salam Sdn. Bhd, al-Quran al-Qarim oleh El Sayed Mohmed Tolba Mohamed Khalil, al-Quran Digital (Multi Language Version For Holy Quran) oleh al-Azhar Marketing.

Tiga permohonan oleh al-Hidayah House of Quran juga ditolak iaitu Amalan Surah-surah Pilihan dan al-Quran al-Karim (Mashaf dan terjemahan) manakala ENMAC Technology (M) Sdn. Bhd menerima nasib serupa adalah permohonan bagi al-Quran Digital (E300) turut ditolak.

“Terdapat juga usaha pihak orientalis yang cuba menyebarkan dakyah mereka memutar belitkan ayat al-Quran di Internet apabila pihak kami mengesan kitab bertajuk Furqan Nur Haq di Amerika Syarikat yang mengubah maksud Bismillah kepada maksud dengan nama bapa.

“Kami memandang serius isu ini dan mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan agar ianya tidak merosakkan akidah dan mengelirukan umat Islam negara ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Comments