Walau Kalah 3-0, Nizar Mahu Penyokong Bersabar

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin meminta agar penyokongnya bertenang meskipun Mahkamah Rayuan tidak menyebelahinya.

Semasa diminta mengulas kekalahan beliau itu, Nizar yang nyata kecewa dengan keputusan tersebut bagaimanapun berkata terpaksa menerima keputusan itu.

"Walaupun kalah, saya pasti saya tetap menang di hati rakyat, dan kemenangan BN ini hanya akan membuatkan rakyat semakin membenci BN," ujarnya.

Begitupun, Nizar tidak mahu penyokong Pakatan Rakyat membuat tindakan yang membelakangi undang-undang.

"Saya harap penyokong bersabar.Kita akan berusaha dan saya akan membuat rayuan pula di mahkamah persekutuan kerana ruang itu masih ada untuk saya berbuat demikian," ujarnya.

Beliau juga menyeru Zambry untuk mencadangkan kepada Sultan membubarkan Dun Perak bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang benar-benar sah.

Sementara itu Adun PAS Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah pula turut meminta penyokong bertenang

Beliau mahu penyokong dapat menerima hakikat keputusan yang telah diumumkan hari ini walaupun ia satu keputusan yang berat untuk diterima.

"Saya minta mereka bertenang dengan apa yang telah diumumkan oleh hakim walaupun tidak memihak kepada pakatan rakyat, kita yakin kebenaran akan dicapai," katanya.

"Sebagaimana yang saya jelaskan sebelum ini.. walaupun BN menang tetapi politik di Perak tidak akan tenteram dan aman melainkan diadakan pembubaran Dun," tegasnya.

Bagi Khalil Idham, majoriti tipis yang memihak kepada BN dengan jumlah wakil rakyat yang dibeli sebanyak tiga orang dari Pakatan Rakyat menggambarkan betapa rapuh kerajaan yang ada di Perak.

Dalam keputusannya, panel tiga hakim yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian pada 21 Mei sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Sumber: Harakahdaily

Comments