UMNO Punyai Semangat dan Jiwa Kecil

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan Umno sebagai parti yang kecil jiwa dan semangat kerana tidak sanggup bertanding dalam sebuah Dun kecil walaupun parti itu memerintah Kerajaan Pusat.

Malah beliau juga menyifatkan Umno sebagai parti oppurtunis yang hanya mencari kesempatan dan bukannya menunaikan amanah serta tanggung jawab.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat menyertai pilihan raya kerana merasa bertanggung jawab untuk menghidupkan demokrasi dan membela rakyat walaupun kalah mahupun menang.

"Kita menyertai pilihan raya di mana sahaja, bukan sahaja di kawasan yang kita menang, kita juga menyertai pilihan raya di kawasan yang kita kalah dan hilang wang pertaruhan. Kepada kita lawan tetap lawan, menang pun kita lawan, kalah pun kita lawan.

"Kita sanggup rebah bangun dalam membela rakyat. Kita tidak menjadi satu parti yang kalau menang sahaja bertanding pilihan raya, kalau tidak menang melarikan diri. Menunjukkan parti yang tidak bertanggung jawab terhadap demokrasi dan rakyat," ujarnya pada ceramah sempena Pilihan Raya Kecil N.12 Dun Penanti di Padang Awam Taman Guar Perahu, di sini malam tadi.

Katanya, Pakatan Rakyat percaya, Umno sebagai parti yang lemah tidak mampu menangani masalah sedia ada iaitu pentadbiran penuh dengan penyakit rasuah dan pilih kasih.

Malah Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah Kerajaan Pusat juga tegasnya, dibimbangi tidak mampu menangani krisis ekonomi yang sedang melanda dunia hari ini.

Beliau turut membidas dakwaan pimpinan BN bahawa Malaysia tidak terjejas dengan krisis ekonomi dunia hari ini.

"Seolah-olah Malaysia ini di luar dunia, tidak ada dalam dunia," ujarnya menyindir.

Melanjutkan ceramahnya, Ustaz Abdul Hadi berkata, Umno telah menunjukkan tanda-tanda kemalapan walaupun hari ini parti itu menonjolkan slogan 'Satu Malaysia' yang didakwa untuk mewujudkan perpaduan rakyat.

"Bagaimana Umno dan rakan-rakan parti yang sewaktu dengannya hendak mendukung Satu Malaysia? Umno sendiri tidak bersatu, PPP tidak menjadi parti yang bersatu, MIC sudah lempar kerusi antara satu sama lain, Gerakan tidak boleh kawal ahli dan pemimpinnya untuk jadi calon Bebas.

"Untuk menyatukan rakyat bukan seperti menyatukan batu bata bangunan yang boleh diangkut dan dipindah dengan mudah, diatur dan diikat dengan simen. Bukan seperti menyatukan kayu-kayu yang boleh dipunggah dan diikat dengan tali.

"Manusia ada hati nurani, ada perasaan. Banyak teori untuk menyatukan manusia, ada berdasarkan sempadan negeri, ada berdasarkan keturunan, ada berdasarkan ekonomi dan kepentingan politik. Hendak menyatukan manusia tidak boleh dengan aspek ini sahaja, perlu dilayan perasaan hati nurani. Yang boleh menyatukan manusia ialah pemerintah yang adil, pemerintah yang baik, bersih dan ikhlas, yang boleh menunaikan hak rakyat dengan cara sewajarnya," terang beliau.

PAS, KeADILan dan DAP katanya, berusaha untuk menonjolkan cara sebenar dalam menyatukan rakyat dan pemerintahan adil, tetapi malangnya BN tidak menunjukkan akhlak sebagai kerajaan yang mengamalkan demokrasi.

Dakwanya, BN tidak merasa senang untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah mengikut penggal yang sepatutnya.

Beliau menyebut beberapa contoh tindakan BN yang melanggar konsep federalisme antaranya mewujudkan kerajaan negeri dalam kerajaan negeri dengan menubuhan JKKK, wujudkan pentadbiran persekutuan berasingan, mengadakan kempen kepada pelabur untuk memulau Kelantan, rampas royalti di Terengganu dan menyebabkan kemelut politik di Perak.

Untuk itu beliau menyeru pengundi Dun Penanti agar keluar beramai-ramai untuk menghidupkan demokrasi seterusnya melanyak Umno dan BN.

Ustaz Abdul Hadi turut melahirkan harapan agar mendapat majoriti dan peratus undi yang besar untuk memberi isyarat kepada BN bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Untuk membolehkan Pakatan Rakyat memerintah negara, mengambil alih pemerintahan negara, menyelamatkan negara dan rakyat dengan agenda kita, agenda keadilan yang benar-benar menyatukan rakyat, bukan 'Satu Malaysia' yang tidak tahu di mana adil dan keikhlasannya," ujarnya.

Mengakhiri ceramah, beliau menyeru para pengundi dan petugas jentera PAS di seluruh negara agar turun ke Dun Penanti seolah-olah Umno juga bertanding dan bekerja untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat.

Turut menyampaikan ceramah ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama calon Keadilan Dun Penanti, Dr Mansor Othman, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz salleh Man dan Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifuddin Nasution.

Sumber: Wasilah

Comments