UMNO Beri amaran Kepada PKR

Ketua Umno bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid mengingatkan PKR supaya tidak mencampuri urusan Umno yang mengadakan majlis penerangan di Penanti.

Katanya, tiada sebab untuk PKR mahu mengambil tahu semua urusan Umno.

“Kenapa dalam kem Umno pun mereka hendak ambil tahu, tetapi hal dia kita tidak boleh ambil tahu”.

“Dia mahu semua yang kita buat kena beritahu dia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Jalil berkata demikian ketika diminta laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mendakwa Umno mengadakan majlis penerangan di Penanti, sedangkan BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil di situ Ahad ini.

Ketua Penerangan AMK Permatang Pauh, Mohd Syukri Abdul Hamid membuat laporan itu di balai polis Kubang Seman jam 4.15 semalam.

Umno Buat Majlis Tertutup

Dalam laporan itu, Mohd Syukri juga meminta polis menghentikan program ceramah Umno bagi kesejahteraan dan ketenteraman di Penanti.

Bagaimanapun, Abdul Jalil mengakui Umno bahagian Permatang Pauh mengadakan majlis tertutup mengenai isu tersebut kepada 27 cawangan Umno di Penanti.

Abdul Jalil berkata, program secara tertutup itu khusus untuk ahli parti sahaja.

“Kita hanya hendak sampaikan mesej kepada ahli-ahli parti rnengapa kita tidak bertanding di Penanti.

“Kita juga memberi penerangan kepada ahli mengenai arahan ibu pejabat Umno supaya cawangan parti mengadakan mesyuarat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, semua cawangan Umno di Penanti mesti mengadakan mesyuarat cawangan mulai 15 Mei hingga 10 Jun ini.

SPR Turun Bendera DAP

Sementara itu, timbalan ketua AMK, Fariz Musa berkata, Umno boleh mengadakan program tetapi bukan di Penanti kerana parti itu tidak bertanding.

Katanya, beliau tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku dan suruhanjaya pilihanraya dan polis bertindak tegas dalam hal ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bertindak menurunkan 13 bendera DAP di kawasan DUN Penanti kerana calon parti itu tidak bertanding dalam pilihanraya kecil di situ.

Timbalan Pengarah SPR Pulau Pinang, Mohd Faiz Syazwan Zainal Abidin dilaporkan berkata, parti politik yang tidak bertanding dalam pilihanraya kecil itu pada 31 Mei ini, tidak dibenarkan memasang bendera dan poster parti mereka di kawasan itu.

Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan ketua menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin.

Sumber: Malaysiakini

Comments

zoull said…
BN awal2 lagi dah tahu kalah,jadi buat apa bertanding lagi.kan buat karen je? cukup lah buat ceramah tertutup saja.Kasian BN ni, takut sangat bertanding.Tepi kalau memerintah nak pula.Ini saya nak tanya pada puak BN ni. Memerintah tanpa menang bertanding dalam proses pilihanraya secara demokrasi itu amalan demokrasi berperlimen di Malaysia kah atau cara rampasan kuasa?